ALOR SETAR - Menurunkan seorang Perdana Menteri tidak semestinya berlaku hanya menerusi pilihan raya apabila rakyat hilang kepercayaan terhadap kepimpinan negara.
Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, ia juga boleh berlaku akibat desakan rakyat yang menolak kepimpinan Perdana Menteri yang dilihat gagal mentadbir dengan cekap.
Menurutnya, situasi tersebut banyak berlaku di beberapa buah negara yang membuktikan suara rakyat mengatasi kekebalan pemerintah.
“Tak selalunya Perdana Menteri diturunkan ketika pilihan raya. Di United Kingdom, Perdana Menteri Boris Johnson letak jawatan apabila rakyat marah hanya disebabkan dia adakan tea party ketika darurat.
“Di Bangladesh, Perdana Menteri lari ke India bila rakyat mendesak dan akhirnya dia lepaskan jawatan.
“Di Jepun, buat silap sikit sahaja, Perdana Menteri perlu letak jawatan. Ramai letak jawatan, tak tunggu pilihan raya. Bila rakyat tak suka, Perdana Menteri kenalah letak jawatan, perlu sensitif terhadap perasaan rakyat
“Saya sendiri pernah letak jawatan ketika ada yang tak setuju dengan saya, bukan orang ramai tetapi parti. Ini rakyat sudah minta turun pun dia (Datuk Seri Anwar Ibrahim) tak mahu, sedap duduk di kerusi,” katanya ketika berucap pada Himpunan Mandat Negarawan di Stadium Suka Menanti di sini pada Khamis.
**media[3205951]**
Hadir sama, Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang; Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin; Timbalan Pengerusi Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin dan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor.
Dr Mahathir berkata, Perdana Menteri perlu meletakkan jawatan memandangkan pentadbiran beliau gagal menunaikan janji selain negara terus berdepan pelbagai masalah yang membebankan rakyat.
“Saya nak suruh Anwar letak jawatan sebab dia tak tahu memerintah negara ini. Macam-macam janji dibuat tetapi tak ditunaikan,” katanya.
Beliau turut mendakwa, sebagai sebuah negara kaya, Malaysia masih dibelenggu masalah kemiskinan rakyat kerana mempunyai kerajaan yang gagal mengurus negara dengan baik.
“Kita mempunyai kerajaan yang zalim, ramai rakyat kita miskin sehingga berlaku pelbagai jenayah kerana tekanan hidup. Kalau kita nak usaha untuk selamatkan orang Melayu, kita akan dituduh melanggar undang-undang,” katanya.
Beliau tegaskan undang-undang yang ditegakkan kini tidak dibuat secara telus sebaliknya bersifat menekan kebebasan rakyat untuk bersuara.
“Sekarang ini kita tak boleh cakap tentang orang Melayu, isu 3R tak boleh sentuh. Dalam Dewan pun tak boleh bercakap, bila bercakap dalam Dewan, kena gantung enam bulan. Inilah demokrasi reformasi yang dijanjikan Anwar Ibrahim,” katanya.
Dr Mahathir turut mendakwa, negara mempunyai kekayaan yang banyak dengan rizab Bank Negara mencecah RM500 bilion, namun rakyat masih tidak dapat menikmati kekayaan tersebut kerana pentadbiran yang lemah.
“Kita ada duit banyak tetapi rakyat miskin, kita simpan duit kita di Amerika Syarikat dengan membeli bon dolar mereka. Negara yang kaya seperti Amerika kita bantu, sedangkan rakyat kita tiada duit,” katanya.
Beliau turut memberi amaran bahawa rakyat akan menjadi mangsa sekiranya terus tertipu dengan slogan reformasi yang tidak memberi manfaat kepada rakyat.
“Sebab itu kita berkumpul malam ini dengan tujuan untuk turunkan AI, ini bukan Artificial Intelligence, tetapi Anwar Ibrahim. Bukan semestinya perlu tunggu pilihan raya, Perdana Menteri perlu sensitif kepada perasaan rakyat,” katanya.
Dr Mahathir berkata, Perikatan Nasional (PN) mempunyai tanggungjawab untuk menyedarkan masyarakat mengenai kegagalan pentadbiran Perdana Menteri ke-10 itu supaya negara dapat diselamatkan daripada terus terjerumus dalam pelbagai masalah ekonomi dan sosial.