Ketua-ketua UMNO adakan perjumpaan khas malam ini

KUALA LUMPUR - Satu perjumpaan khas yang melibatkan ketua-ketua UMNO bahagian dari seluruh negara dijadualkan berlangsung di sebuah hotel di ibu negara malam ini.

Sinar Harian yang berada di lokasi mengesahkan bahawa ketua-ketua dan wakil bahagian UMNO dilihat mula berkumpul di hotel tersebut sejak jam 8 malam tadi.

Difahamkan, pertemuan ini diadakan atas inisiatif sendiri oleh ketua-ketua bahagian tanpa penglibatan secara rasmi dari UMNO Pusat.

Menurut sumber rasmi, pertemuan itu dijangka bermula pada jam 8.30 malam.

Setakat ini, disahkan bahawa Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi tidak hadir dalam pertemuan tersebut kerana beliau mempunyai tugas rasmi di luar negara.

Objektif utama pertemuan ialah untuk menyatakan sokongan terhadap pelaksanaan Titah Adendum agar bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, dibenarkan menjalani baki hukuman penjara di kediaman beliau.

Difahamkan, satu sidang media oleh Ketua UMNO Bahagian Wangsa Maju, Datuk Seri Dr Mohd Shafei Abdullah akan diadakan sejurus selepas tamatnya Perjumpaan Khas tersebut.