UMNO Kelantan perlu buang pemikiran kalah walaupun lama jadi pembangkang - Zambry

KOTA BHARU - Ahli UMNO di Kelantan perlu membuang pemikiran kalah dan kekal setia kepada perjuangan parti meskipun sudah lama berada di kerusi pembangkang, kata Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.

Beliau berkata, tindakan sesetengah pihak yang mudah berputus asa dan melompat parti selepas kekalahan adalah satu kesilapan besar yang menjejaskan kekuatan parti.

"Ada yang selepas kalah terus mengaku kalah dan melompat ke pihak lain dengan harapan diterima. 

"Itu satu kesilapan dan (jika) mereka boleh berbuat begitu kepada parti mereka sendiri, apa jaminan mereka tidak akan melakukan perkara yang sama lagi?,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Pengkalan Chepa di sini hari ini.

Zambry yang juga Menteri Pendidikan Tinggi turut memuji kejayaan 102 cawangan UMNO Pengkalan Chepa yang berjaya mengadakan mesyuarat walaupun UMNO di negeri itu telah menjadi pembangkang lebih lima dekad, sekali gus mencerminkan kekuatan akar umbi parti.

Pada masa sama, beliau mengingatkan ahli parti agar terus bekerjasama di semua peringkat termasuk sayap Wanita, Pemuda dan Puteri bagi memperkukuh gerak kerja parti. - Bernama