KUALA NERUS – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan pertemuan bersama Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) bagi memperkukuh persefahaman dan menjelaskan beberapa isu membabitkan dasar kerajaan.
Menurutnya, antara perkara yang dibincangkan termasuk isu pemilihan Ketua Hakim Negara, cadangan penyasaran subsidi RON95 serta spekulasi berkaitan cukai.
"Saya jelaskan proses pelantikan Ketua Hakim Negara melibatkan Perdana Menteri, Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja, bukan dibuat secara perseorangan.
"Tapi ada pihak hanya sebut nama PM untuk mudahkan naratif. Jadi saya cadangan supaya dia teliti prinsip perlembagaan," katanya ketika ditemui selepas menghadiri pertemuan bersama Majlis Pimpinan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Pahang, Kelantan dan Terengganu di sini pada Sabtu.
Menurut Anwar, dalam pertemuan itu beliau turut menjelaskan bahawa cadangan berkaitan subsidi dan cukai masih belum dimuktamadkan oleh Jemaah Menteri.
"Saya terangkan beberapa isu, termasuk soal cadangan cukai kerana banyak khabar-khabar angin tentang RON 95.
"Tapi saya maklumkan, belum ada keputusan rasmi. Jadi biar perkara ini selesai dulu sebelum kita buat pengumuman rasmi," katanya.
Beliau berkata, pertemuan itu diadakan atas cadangan Timbalan Perdana Menteri yang juga Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, susulan mesyuarat beliau bersama pimpinan Pakatan Harapan (PH) sebelum ini.
"Kebiasaannya saya bertemu dengan pimpinan PH setiap hari Isnin. Kali ini, Zahid cadangkan supaya saya turut berjumpa pimpinan BN. Jadi kita adakan pertemuan semalam (Jumaat).
"BN memberikan kefahaman yang baik dan kerjasama penuh dalam membincangkan isu-isu semasa," katanya.
Dalam pada itu, Anwar turut menjelaskan intipati pertemuan bersama pimpinan PKR tiga negeri.
Jelas beliau, ia bagi mendengar pandangan berhubung pemilihan kepimpinan negeri serta memberikan taklimat isu semasa yang sedang dihadapi kerajaan.
Sebelum ini Anwar mengadakan pertemuan bersama Ahli Parlimen BN di kediaman rasmi Perdana Menteri di Seri Perdana pada malam Jumaat.