13 pemimpin Pas Kedah kekal, hanya satu muka baharu

ALOR SETAR - Pemilihan kepimpinan Pas kawasan di Kedah bagi sesi 2025-2027 menyaksikan 14 daripada 15 kawasan selesai mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan setakat 28 Jun lalu.

Berdasarkan keputusan itu, ia memberikan isyarat jelas mengenai landskap politik parti itu yang dilihat stabil menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) selain secara keseluruhannya menunjukkan trend kestabilan kepimpinan.

Keputusan pemilihan menunjukkan 13 Yang Dipertua (YDP) kekal memegang jawatan, dengan hanya satu kawasan di Padang Serai menyaksikan muka baharu dilantik sebagai YDP, iaitu Abdul Rashid Abdul Halim.

Sementara satu lagi kawasan, iaitu Jerlun masih belum mengadakan mesyuarat agung dan dijangka diadakan pada 12 Julai.

Keputusan tersebut membuktikan penerimaan akar umbi terhadap kepimpinan sedia ada, terutama tokoh-tokoh lama yang memainkan peranan besar dalam pentadbiran negeri.

Antaranya, Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor kekal sebagai YDP Sik; Pesuruhjaya Pas Kedah, Datuk Ahmad Yahaya kekal YDP Alor Setar serta Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, Zubir Ahmad di Langkawi.

Di kawasan Parlimen penting seperti Pokok Sena, Alor Setar, Kuala Kedah dan Kubang Pasu, pemimpin berprofil tinggi juga kekal diberikan mandat, manakala pembaharuan berlaku pada posisi timbalan dan naib sebagai langkah pelapis untuk kesinambungan kepimpinan.

Antaranya di Alor Setar, Ketua Pemuda Pas Pusat yang juga Ahli Parlimen Alor Setar, Afnan Hamimi Taib Azamudden diberikan kepercayaan sebagai Naib YDP baharu.

Kubang Pasu pula menyaksikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jitra, Dr Haim Hilman Abdullah merupakan muka baharu sebagai Timbalan YDP bagi memperkukuh jaringan antara kepimpinan parti dan wakil rakyat.

Di Pokok Sena, Timbalan YDP diisi muka baharu, iaitu ADUN Bukit Lada, Salim Mahmood sementara YDP kekal diterajui ADUN Bukit Pinang, Datuk Wan Romani Wan Salim, kombinasi pengalaman dan tenaga muda.

Kuala Kedah turut menyaksikan Pas kawasan itu kekal diterajui Ahli Parlimen Kuala Kedah, Dr Ahmad Fakhruddin Sheikh Fakhrurazi.

Mereka yang turut mengekalkan jawatan YDP, termasuk ADUN Bandar Baharu, Muhd Suffian Yusoff (Kulim/Bandar Baharu); ADUN Pantai Merdeka, Sharir Long (Sungai Petani); ADUN Tokai, Datuk Dr Mohd Hayati Othman (Pendang).

Satu-satunya kawasan yang menyaksikan perubahan penuh ialah di Padang Serai dengan barisan kepimpinan baharu di semua jawatan utama, diketuai Abdul Rashid Abdul Halim sebagai YDP.

Ia mungkin menandakan keperluan strategi baharu di kawasan tersebut apabila parti itu berusaha memperkukuhkan semula struktur di peringkat akar umbi.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Parti, Mohd Rosli Azmi memaklumkan, tiada sebarang insiden atau pertikaian dilaporkan sepanjang proses pemilihan berlangsung.

“Ini mencerminkan tahap disiplin dan kematangan politik Pas Kedah dalam mengurus peralihan kuasa secara teratur.

“Ia juga menunjukkan Pas Kedah bersedia berdepan cabaran PRU16 dengan barisan kepimpinan yang stabil, diyakini akar umbi, serta kombinasi antara muka lama dan baharu bagi menggerakkan jentera parti di peringkat kawasan,” katanya.

Berdasarkan momentum ini, Pas Kedah dijangka akan memfokuskan kepada pengukuhan organisasi kawasan, pemantapan hubungan dengan rakyat serta penyelesaian isu-isu tempatan menjelang pilihan raya, bagi memastikan parti itu kekal sebagai pemain utama politik Kedah.