Cuba Rafizi, KJ, Syed Saddiq bergabung dalam parti baru - Mohd Puad

JOHOR BAHRU - Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi berpandangan beberapa tokoh muda politik boleh bergabung dalam satu parti baharu.

Antara nama yang disebut berpotensi membentuk gabungan itu ialah Rafizi Ramli, Khairy Jamaluddin, Nik Nazmi Nik Ahmad, Shahril Hamdan, Akmal Nasir, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, Wan Saiful Wan Jan dan Larry Sng.

"Bagus juga jika Rafizi, KJ, Nik Nazmi, Shahril Hamdan, Akmal Nasir, Syed Saddiq, Wan Saiful Wan Jan dan Larry Sng bergabung dalam satu parti baru.

"Dalam bola sepak, apabila pemain-pemain bintang bergabung, pasukan itu biasanya menjadi terlalu kuat dan juara banyak tahun.

"Secara automatik, parti ini sudah ada tujuh hingga 10 Ahli Parlimen. 

"Satu 'bargaining power cukup kuat ketika tidak ada 'single party' yang boleh memerintah di Malaysia," katanya dalam muat naik di Facebook pada Khamis.

Speaker DUN Johor itu turut melontarkan soalan sama ada kesemua mereka akan serasi untuk bergabung dengan sifat suka berbeza idea dalam parti

"Dengan latar belakang pendidikan, pengalaman jawatan tinggi dalam parti asal dan sifat suka berbeza idea dalam parti, maka apakah mereka ini serasi untuk bergabung?

"Selamat mencuba untuk memeriahkan demokrasi di Malaysia," katanya.

Sebelum itu, Rafizi dan Nik Nazmi mengumumkan peletakan jawatan masing-masing berkuat kuasa 17 Jun dan 4 Julai depan selepas mereka tewas pada PKR 2025.

Rafizi gagal mempertahankan jawatannya sebagai Timbalan Presiden PKR selepas tewas kepada Nurul Izzah Anwar manakala Nik Nazmi kalah pada pemilihan bagi jawatan Naib Presiden.