SHAH ALAM – Tahap kesihatan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang dilaporkan semakin membaik, kata Ahli Parlimen Bachok, Syahir Sulaiman.
Beliau memaklumkan bahawa Abdul Hadi turut sempat mengikuti perkembangan situasi di Iran serta berita politik tanah air sepanjang tempoh berada di Institut Jantung Negara (IJN).
"Alhamdulillah, dengan izin-Nya, Tuan Guru menunjukkan perkembangan yang baik. Ceria dan bersemangat, malah proses penyembuhan juga sangat cepat.
"Tuan Guru gembira apabila dimaklumkan bahawa delegasi Pas yang diketuai Ustaz Khalil (Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi) berkunjung ke Kedutaan Iran bagi menzahirkan solidariti dan sokongan parti terhadap isu ini.
"Kita nantikan nukilan terbaharu beliau yang akan ditulisnya dari IJN untuk tatapan kita semua," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Khamis.
Terdahulu, Sinar Harian melaporkan bahawa Ahli Parlimen Marang itu menjalani rawatan pada Selasa.
Untuk rekod, Abdul Hadi pernah menerima rawatan susulan di IJN dan kali terakhir dilaporkan menjalani prosedur berkaitan pada 5 Januari tahun lalu.
Syahir turut memaklumkan bahawa pemimpin tertinggi Pas itu menzahirkan ucapan terima kasih atas doa yang dititipkan oleh seluruh rakyat di negara ini.
"Saya turut menyampaikan salam daripada Mursyidul Am Pas dan barisan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, Tan Sri Muhyiddin Yassin serta Datuk Seri Ismail Sabri termasuk rakan-rakan lamanya dan ahli parti.
"Beliau berkirim salam kembali. Kita berikan lebih ruang untuk Tuan Guru berehat dan pulih sepenuhnya dengan iringan doa yang berterusan," ujarnya.