Isyarat undur Hadi Awang?

SHAH ALAM - Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang dikatakan memberi bayangan untuk berundur daripada jawatan tersebut atas faktor kesihatan.

Difahamkan, Ahli Parlimen Marang itu menyampaikan hasrat itu kepada barisan kepimpinan tertinggi dalam satu retreat parti pada hujung minggu lalu yang diadakan di Hotel Primula, Terengganu.

Menurut sumber, luahan tersebut membuka ruang kepada perbincangan dalaman antara kem ulama yang kini sedang berusaha meyakinkan Timbalan Presiden, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man agar bersedia mengambil alih tampuk kepimpinan.

“Perkara itu dibangkitkan oleh Abdul Hadi sendiri dalam satu retreat pada hujung minggu lepas iaitu membayangkan beliau uzur dengan kesihatan sekarang.

“Jadi, beliau menyampaikan bahawa mungkin akan berundur. Itu yang buka kepada polemik dan juga diskusi sekarang.

“Kem ulama pula cuba untuk memberikan bayangan bahawa kepimpinan ulama itu perlu diteruskan,” katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

**media[3155179]**

Disebabkan itu, sumber menjelaskan bahawa Ahli Jawatankuasa Dewan Ulama Pas, Mokhtar Senik mengeluarkan kenyataan dengan mencadangkan agar calon Presiden dan Timbalan Presiden ditapis oleh Majlis Syura Ulama, bertujuan untuk mengawal kualiti kelayakan penjawat kedua-dua jawatan tersebut.

Naib Presiden Pas, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah pula sebagaimana dilaporkan media, meminta agar parti itu mengelakkan sebarang pertembungan tajam di peringkat tertinggi yang berisiko memberi kesan negatif kepada parti.

Tambahnya, jika Presiden Pas memilih untuk berundur sekali pun, posisi itu mesti diganti oleh timbalannya.

Bagaimanapun, persoalan timbul apabila Tuan Ibrahim dikatakan ‘berat’ untuk menerima cadangan mengambil alih posisi nombor satu itu.

“Abdul Hadi telah meletakkan satu benchmark yang tinggi. Jadi, mungkin Tuan Ibrahim rasa ‘gayat’ sikit. Itu saya rasalah,” ujarnya.

Masalah kesihatan Abdul Hadi bukanlah sesuatu yang baharu dan kali terakhir beliau dilaporkan menjalani rawatan di Institut Jantung Negara (IJN) pada Januari tahun lalu dan melakukan dialisis agar kembali sihat seperti sedia kala.

Beliau turut dilaporkan menghadapi masalah kesihatan pada Jun 2023 dan telah dimasukkan ke Hospital Putrajaya selepas dilaporkan mengalami sesak nafas sebelum dipindahkan ke IJN untuk rawatan lanjut.