SHAH ALAM - Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari menepis spekulasi kononnya kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Tua disandang beliau akan dikosongkan bagi memberi laluan kepada Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz yang menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR).
Amirudin berkata, dakwaan itu hanyalah 'cakap-cakap' berasaskan imaginasi liar dalam gelombang maya semata-mata.
"Saya rasa ia datang dari imaginasi individu tertentu yang cuba ‘impose’ imaginasi kepada netizen melalui hantaran di media sosial,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan E-Bike di Mes Pegawai Kanan Polis, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di sini pada Selasa.
Mengulas lanjut, Amirudin memberitahu, fokus utama beliau untuk menghabiskan penggal pentadbiran negeri Selangor dengan penuh tertib dan stabil tanpa sebarang gangguan bersifat politik spekulatif.
"Saya tak rasa (akan kosongkan kerusi). Pandangan peribadi dan parti ialah kita mahu lengkapkan penggal ini dengan sempurna dan damai kerana banyak lagi kerja yang perlu diselesaikan.
"Bukan semudah itu kerana ia memerlukan satu penelitian yang jitu untuk menangani hal-hal tersebut," ujar beliau.
Amirudin menjelaskan, kerajaan negeri tidak bercadang mengulangi episod ‘Langkah Kajang’ yang pernah mencetuskan ketidaktentuan politik di negeri itu satu ketika dahulu.
Jelas beliau, sejarah menjadi pengajaran paling jelas apabila gerakan politik tersebut mencetuskan ketidakstabilan selama hampir dua bulan, walaupun ketika itu kerajaan negeri memiliki sokongan majoriti kukuh.
"Saya tak rasa hal ini perlu dilanjutkan dalam keadaan sekarang apatah lagi fokus penting kini ialah untuk meluruskan kembali kepimpinan dan memberi tumpuan kepada isu-isu berkaitan keutuhan kerajaan Persekutuan, negeri serta (Pilihan Raya Negeri) Sabah,” jelasnya.
Ketika ditanya adakah beliau telah 'dirisik' untuk jawatan Menteri Persekutuan sekiranya mengosongkan DUN Sungai Tua, Amirudin segera menafikannya.
"Setakat ini tak ada kerana itu hanya cakap-cakap sahaja” katanya.
Terdahulu, terdapat desas-desus kononnya Amirudin akan memberi laluan kepada Tengku Zafrul untuk bertanding di DUN Sungai Tua sekali gus mengangkat Menteri Perdagangan, Pelaburan dan Industri (MITI) itu sebagai Menteri Besar Selangor yang baharu.
Tempoh lantikan Tengku Zafrul sebagai Ahli Dewan Negara akan tamat penghujung tahun ini.
Sebelum ini, Tengku Zafrul telah menghantar surat peletakan jawatan sebagai Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT), Ketua UMNO Bahagian Kota Raja serta ahli UMNO berkuat kuasa serta-merta.
Selain itu, Tengku Zafrul turut mengesahkan sudah menyatakan hasrat untuk menyertai PKR kepada Presiden, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Setiausaha Agung, Dr Fuziah Salleh.
Spekulasi semakin hangat selepas berlaku dua kekosongan Kabinet pada 28 Mei lalu susulan peletakan jawatan Datuk Seri Rafizi Ramli sebagai Menteri Ekonomi dan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad.