ALOR SETAR - Meskipun berasa kecewa namun akar umbi UMNO tidak tergugat dengan keputusan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz meninggalkan parti itu untuk menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR).
Pengarah Komunikasi UMNO Kedah, Syed Mohd Johan Rizal Syed Unan Mashri berkata, tindakan Tengku Zafrul itu telah dijangka sejak setahun yang lalu.
Menurutnya, UMNO tidak memerlukan pengkhianat berwajah profesional tetapi tindak-tanduknya tidak mencerminkan sikap profesional.
“Beliau bukan seorang pemimpin politik yang asli, tetapi sekadar oportunis politik,” katanya kepada Sinar Harian di sini pada Selasa.
Syed Mohd Johan Rizal yang juga Naib Ketua UMNO Bahagian Alor Setar berkata, Tengku Zafrul pernah diberi kepercayaan besar oleh parti termasuk menjadi calon ahli Parlimen, Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) serta Ketua Bahagian.
“UMNO yang telah beri ruang, pentas dan kepercayaan kepada beliau. Namun apabila diuji, beliau memilih untuk meninggalkan perjuangan tanpa penjelasan yang kukuh kepada akar umbi yang selama ini setia berdiri bersama parti.
“Waktu senang, laba politik dia terima tetapi apabila hayat politiknya mula malap, dia cabut. Orang yang meninggalkan medan perang tidak layak pulang untuk menuntut kemenangan,” katanya.
Beliau turut menyifatkan keputusan Tengku Zafrul meninggalkan UMNO bukan kerana prinsip perjuangan tetapi lebih kepada mengejar keselesaan, jawatan dan cita-cita peribadi untuk kekal sebagai menteri.
“Kita di bawah berjuang bukan untuk individu, tetapi demi perjuangan parti, agama, bangsa dan negara. Yang setia ketika susah, itulah pejuang sebenar. Yang lari, kita abaikan, tak perlu toleh ke belakang,” ujarnya.
Tambah Syed Mohd Johan Rizal, UMNO tidak menghalang mana-mana individu membuat pilihan politik masing-masing, namun mengingatkan bahawa kesetiaan adalah prinsip utama dalam perjuangan.
“Kalau hilang prinsip, maka hilanglah hormat dari rakyat. Namun UMNO tidak akan runtuh hanya kerana satu dua orang pergi. Parti ini berdiri atas semangat ribuan ahli yang ikhlas dan istiqamah.
“Yang pergi, biarkan pergi. Yang kekal, kita rapatkan saf. Perjuangan belum selesai,” katanya lagi.
Pada Jumaat lepas, Tengku Zafrul menerusi hantaran di Facebook memaklumkan bahawa beliau telah menghantar surat peletakan jawatan dalam UMNO untuk menyertai PKR.
Surat peletakan jawatan sebagai Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT), Ketua UMNO Bahagian Kota Raja dan ahli UMNO itu telah diserahkan kepada pucuk pimpinan parti.
Tengku Zafrul turut mengesahkan beliau telah menyatakan hasrat untuk menyertai PKR kepada Presiden, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Setiausaha Agung, Dr Fuziah Salleh.