JOHOR BAHRU - MCA kekal menyokong Kerajaan Perpaduan selaras dengan titah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim namun ia tidak bererti parti itu akan berdiam diri apabila berlaku ketidakadilan atau dasar yang menjejaskan rakyat.
Ketua Pemudanya, Ling Tian Soon berkata, sokongan itu tidak menghalang parti berkenaan daripada memainkan peranan semak dan imbang dalam memastikan kepentingan rakyat terus terbela.
“Kritikan yang disuarakan oleh Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong adalah berdasarkan fakta dan bertujuan untuk memastikan kepentingan rakyat terpelihara.
“Misalnya, isu pemansuhan subsidi gas petroleum cecair (LPG) yang menimbulkan kekeliruan dan beban kepada pengguna perlu dijelaskan dengan telus,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Beliau berkata demikian bagi membidas kenyataan Naib Pengerusi Kebangsaan DAP, Syahredzan Johan yang mencadangkan supaya MCA keluar daripada Kerajaan Perpaduan hari ini.
Menurut Ahli Parlimen Bangi itu, ia berikutan tindak-tanduk pemimpin MCA khususnya Ka Siong yang berterusan menyerang Kerajaan Madani dengan fakta yang salah dan separuh masak.
Dalam pada itu, Tian Soon menegaskan bahawa tidak wajar sekiranya ada pihak yang mendesak MCA keluar daripada Kerajaan Perpaduan hanya kerana parti itu menyuarakan pandangan berbeza.
“Dalam demokrasi, perbezaan pandangan adalah perkara biasa dan perlu dihormati. Kami akan terus bersuara demi rakyat dan memastikan setiap dasar kerajaan benar-benar memberi manfaat kepada semua.
“MCA tidak akan menjadi ‘pak turut’ tetapi akan terus berjuang untuk keadilan dan kesejahteraan rakyat Malaysia. Jangan sibuk nak jaga tepi kain orang. Kami Keluarga Barisan Nasional (BN),” ujarnya.