UMNO Kedah ingatkan adab politik dalam Kerajaan Perpaduan

ALOR SETAR – UMNO Kedah menegaskan bahawa adab dalam bekerjasama perlu dijaga dalam Kerajaan Perpaduan bagi memastikan hubungan antara parti kekal harmoni dan tidak dicemari oleh tindakan yang boleh menjejaskan kepercayaan sesama rakan kongsi politik.

Ketua Penerangan UMNO Kedah, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin melahirkan rasa kurang senang terhadap cara PKR meraikan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz yang mahu menyertai parti tersebut secara terbuka.

Jelasnya, tindakan ini boleh mencetuskan ketegangan dalam hubungan politik yang telah dibina antara parti-parti dalam Kerajaan Perpaduan jika tidak dikawal sebaik mungkin.

“Saya mengikuti dengan teliti kenyataan beberapa pimpinan utama yang terbuka meraikan kemasukan Tengku Zafrul ke dalam parti mereka, daripada Datuk Seri Amirudin Shari sehinggalah kepada Muhammad Kamil Abdul Munim. Nada mereka jelas menunjukkan seolah-olah tindakan ini adalah sesuatu yang dirancang, diolah dan dirayakan.

“Sebagai parti yang berada dalam Kerajaan Perpaduan, sepatutnya PKR menjadi contoh kepada budaya adab bekerjasama. Siri kenyataan daripada tokoh-tokoh PKR seolah-olah memberi mesej terus ke muka UMNO bahawa adab dalam bekerjasama itu tidak penting dan bahawa langkah-langkah politik boleh diatur tanpa mengambil kira sensitiviti rakan kongsi utama dalam Kerajaan Perpaduan,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Shaiful Hazizy berkata lagi, UMNO tidak berduka dengan pemergian Tengku Zafrul yang meletakkan semua jawatan dalam parti tersebut, malah menyifatkan beliau sebagai ‘pelancong politik’ yang sekadar beralih arah.

Namun, yang menjadi persoalan utama ialah bagaimana PKR secara terbuka meraikan tindakan ini tanpa mengambil kira sensitiviti UMNO sebagai rakan kongsi utama dalam kerajaan.

“Jika budaya seperti ini diteruskan, ia hanya akan mencemarkan keharmonian yang telah sekian lama diusahakan dalam Kerajaan Perpaduan. Kejanggalan drama ini wajar dihentikan demi kelangsungan sebuah kerjasama politik yang stabil, jujur dan ikhlas.

“Kita tidak boleh terus mengorbankan prinsip hanya kerana mahu mengekalkan kuasa. UMNO bersedia bekerjasama, tetapi bukan menjadi bahan mainan dalam skrip politik pihak lain,” ujarnya.

Pada Sabtu, media melaporkan bahawa Muhammad Kamil berkata penyertaan Tengku Zafrul ke dalam PKR disifatkan sebagai satu langkah strategik yang mampu memperkukuh kekuatan parti dalam menghadapi cabaran masa depan.

Menurutnya, yang juga Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), perbincangan mengenai kemasukan Tengku Zafrul telah berlangsung sejak lebih setahun lalu dan ia dibuat menerusi proses yang matang serta penuh pertimbangan.