SHAH ALAM - Penganalisis Politik, Profesor Dr Ahmad Marthada Mohamad berkata, pengalaman Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz selaku teknokrat dengan latar belakang profesional yang luas meletakkan beliau sebagai individu ‘rebutan’ untuk diberi amanah menerajui kementerian penting dalam pentadbiran negara meskipun berlaku peralihan dalam kerajaan.
Justeru beliau tidak menolak kemungkinan wujud percaturan dalam usaha PKR meletakkan Tengku Zafrul menerajui jawatan penting mewakili parti itu termasuk sebagai Menteri Besar Selangor seperti yang disebut-sebut.
“Dari segi perkhidmatan, beliau berkhidmat di bawah tiga Perdana Menteri, ini kerana kebolehupayaan beliau melaksanakan tugas yang diberikan. Beliau berjaya membuktikan beliau memang diperlukan untuk menguruskan kementerian yang relevan dengan kepakaran beliau.
“Tengku Zafrul menonjol dengan pengalaman sebagai teknokrat dan profesional, bukan sebagai ahli parti,” katanya.
Namun jelas Ahmad Marthada, masih terlalu awal untuk membuat sebarang jangkaan memandang terdapat proses penting dan panjang yang perlu dilalui Tengku Zafrul sebelum boleh menjadi MB.
“Beliau kena diterima oleh parti terlebih dahulu, perlu bertanding (PRK) dan menang, ini juga akan mengambil masa. Kemudian, adakah tindakan itu (melantik Tengku Zafrul sebagai MB) akan dipersetujui oleh akar umbi dan kepimpinan?
“Tapi yang pasti, hubungan beliau dengan Istana (Selangor) itu kita tahu sangat rapat, jadi kemungkinan itu ada, tapi dalam konteks hari ini, beliau perlu lalui pelbagai perkara,” katanya.
Tengku Zafrul menjadi Menteri Kewangan semasa pentadbiran Tan Sri Muhyiddin Yassin (Mac 2020-Ogos 2021) dan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (Ogos 2021-November 2022), dan kini Menteri MITI.