SEREMBAN – Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Aminuddin Harun memberitahu namanya tiada dalam senarai bagi mengisi kekosongan jawatan menteri yang ditinggalkan Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli dan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad baru-baru ini.
Beliau secara berseloroh berkata, mana-mana pemimpin parti tidak perlu risau mengenainya.
"Saya tidak melobi untuk apa-apa jawatan pun dan saya serah kepada Perdana Menteri untuk menentukannya.
“Nama saya pun tak ada (dalam senarai), jangan risau," katanya ditemui pemberita pada Majlis Perasmian Sukan Negeri Sembilan di Kompleks Sukan Negeri Paroi di sini pada Sabtu.
Menteri Besar itu berkata, pelantikan jawatan menteri merupakan kuasa penuh Perdana Menteri dan beliau menyerahkan sepenuhnya kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menentukan calon yang sesuai.
Sebelum ini Rafizi dilaporkan telah menghantar surat peletakan jawatan Menteri Ekonomi kepada Perdana Menteri, berkuat kuasa 17 Jun depan.
Nik Nazmi turut mengambil langkah sama dan mengumumkan menghantar surat peletakan jawatannya berkuat kuasa 4 Julai depan.
Tindakan itu dibuat selepas kedua-dua mereka tewas dalam pemilihan PKR baru-baru ini.
Kedua-dua pemimpin itu kini dalam tempoh menghabiskan baki cuti tahunan mereka.