SHAH ALAM - Penyertaan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dalam Parti Keadilan Rakyat (PKR) mampu membuka ruang untuk menarik sokongan pelbagai pihak bagi bersama parti dalam membina sebuah negara lebih progresif, adil dan inklusif.
Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Muhammad Kamil Abdul Munim berkata, ia sejajar dengan komitmen PKR untuk terus menawarkan politik berasaskan idea, kepakaran dan integriti.
"Difahamkan beliau telah berbincang lebih setahun yang lalu untuk menyertai PKR. Pengalaman beliau dilihat mampu memberi nilai tambah kepada parti.
"Saya percaya bahawa keterbukaan PKR dalam menerima tokoh-tokoh profesional adalah bukti parti ini sentiasa berkembang sebagai sebuah wadah yang matang dan bersedia untuk memimpin masa depan Malaysia," katanya menerusi aplikasi X pada Sabtu.
Bagaimanapun Muhammad Kamil berkata, semua proses permohonan perlu mengikuti prosedur yang telah ditetapkan oleh parti, seperti yang diumumkan oleh Setiausaha Agung PKR.
Pada Jumaat, Tengku Zafrul mengumumkan peletakan jawatan sebagai Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Ketua UMNO Bahagian Kota Raja dan ahli UMNO bagi menyertai PKR.
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada Sabtu mengesahkan bahawa Setiausaha Kerja UMNO, Datuk Mohd Sumali Reduan telah menerima surat rasmi berhubung peletakan jawatan Tengku Zafrul.
Namun begitu, Setiausaha Agung PKR, Dr Fuziah Salleh berkata, pihaknya masih belum menerima sebarang permohonan rasmi daripada Tengku Zafrul untuk menyertai parti berkenaan.