Tengku Zafrul sertai PKR: Hubungan parti Kerajaan Perpaduan tidak terjejas - Nie Ching

KULAI - Keputusan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, yang juga Ketua UMNO Bahagian Kota Raja Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR) tidak akan menjejaskan hubungan antara parti komponen dalam dalam Kerajaan Perpaduan.

Menurut Naib Pengerusi DAP, Teo Nie Ching, setakat ini hubungan antara kesemua parti dalam Pakatan Harapan (PH) dilihat baik kerana masing-masing sudah cukup matang dalam arena politik tanah air.

"Tengku Zafrul sudah pun menyatakan minat secara terbuka untuk menyertai PKR. Jadi, terpulang kepada PKR. Sekiranya parti ini mahukan pandangan mereka boleh dapatkannya daripada Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke.

"Bagaimanapun, perkara ini tidak menjejaskan hubungan baik antara parti kerana mereka boleh mengendalikan semua isu ini dengan baik," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Program Sumbangan Murid Cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 Peringkat Parlimen Kulai di Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kulai di sini pada Sabtu.

Sebelum ini Tengku Zafrul dilaporkan telah meletakkan jawatan selaku ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT), UMNO, Ketua UMNO Bahagian Kota Raja dan ahli UMNO, sekali gus menamatkan penyertaannya dalam parti itu sejak 1997.

Diminta mengulas mengenai pengunduran Datuk Seri Rafizi Ramli sebagai Menteri Ekonomi dan Nik Nazmi Nik Ahmad selaku Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Ahli Parlimen Kulai itu berkata, perkara tersebut hanya akan dapat diputuskan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, kelak.

"Berhubung soal ini, saya rasa biarlah perkara ini diputuskan Perdana Menteri yang juga Presiden PKR.

"Saya yakin dia dapat menguruskannya sebaik mungkin," katanya.