KUALA LUMPUR - Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin menegaskan bahawa kedudukan sebagai Perdana Menteri tidak menjadikan seseorang itu kebal daripada tindakan undang-undang, dan tidak wajar dijadikan 'perisai' untuk mengelak daripada proses keadilan.
Menurut beliau, memelihara maruah negara adalah satu kewajipan, apatah lagi dalam dunia tanpa sempadan ketika ini di mana segala tindakan diperhatikan oleh masyarakat antarabangsa.
“Mempertahankan maruah seorang pemimpin, khususnya Perdana Menteri, adalah penting kerana ia melambangkan wibawa negara. Namun pada masa sama, keluhuran Perlembagaan dan kedaulatan undang-undang wajib dijunjung tinggi,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Tegas Hamzah, keadilan mesti diberikan kepada semua tanpa mengira pangkat dan kedudukan.
“Mereka yang berkuasa tidak boleh sesekali menyalahgunakan sistem keadilan kerana ia akan meruntuhkan kepercayaan rakyat terhadap kepimpinan serta institusi perundangan negara.”
Beliau mengulas tindakan peguam Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang mengemukakan permohonan luar biasa bagi merujuk lapan persoalan undang-undang ke Mahkamah Persekutuan, termasuk berhubung hak imuniti dalam kes saman sivil oleh bekas pembantu, Muhammed Yusoff Rawther.
“Mahkamah adalah medan terbaik untuk mana-mana individu membela diri dan membersihkan nama mengikut lunas undang-undang.
“Jika ketidakadilan berlaku, ia akan mencetuskan prasangka bahawa wujudnya layanan dua darjat. Rakyat akan hilang keyakinan, manakala pelabur asing pula menganggap negara ini ditadbir oleh undang-undang rimba,” katanya.
Tambah beliau, situasi sedemikian bakal memberi kesan jangka panjang terhadap kestabilan dan pertumbuhan ekonomi negara.
Hamzah turut memetik Perkara 8(1) Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan bahawa semua individu adalah sama rata di sisi undang-undang dan berhak mendapat perlindungan yang sama.
“Jika hak ini dinafikan, rakyat akan memberontak dan sistem akan gagal,” ujarnya.
Beliau menyifatkan penyalahgunaan kuasa serta menggunakan jawatan sebagai “perisai besi” untuk mengelak hukuman sebagai satu pengkhianatan terhadap amanah rakyat.
“Jawatan Perdana Menteri bukan satu kekebalan daripada undang-undang. Dalam kes ini, beliau wajib mempertahankan maruah dirinya dan institusi Perdana Menteri, bukan memohon imuniti daripada mahkamah.”
Hamzah menutup kenyataannya dengan menegaskan bahawa jawatan Perdana Menteri adalah amanah daripada ALLAH SWT yang akan dipertanggungjawabkan bukan sahaja di dunia, tetapi juga di akhirat kelak.