Mahu bela nasib rakyat

JOHOR - Pembangunan sosioekonomi dan kepentingan rakyat berpendapatan rendah menjadi agenda utama tawaran calon Gagasan Sejahtera Johor untuk kerusi Parlimen dan Dun di Pasir Gudang dalam PRU kali ini.

Calon Parlimen Pasir Gudang, Ab Aziz berkata, perkara itu telah dititikberatkan pihaknya sejak beberapa tahun lalu sepanjang penglibatannya dengan aktiviti kemasyarakatan di kawasan berkenaan.

“Saya memang dah lama bergerak dalam Parlimen Pasir Gudang ini, jadi mungkin kredibiliti yang ada itu membuat pimpinan parti memilih saya untuk bertanding di kawasan ini juga kerana kekerapan saya berada dalam masyarakat.

“Bila dengar keputusan suruh saya bertanding kerusi Parlimen dan Dun Permas ini, memberi satu kesan yang besar kepada diri saya berusaha dan merapati lagi masyarakat di luar sana terutama berada di bawah,” katanya selepas Majlis Penamaan Calon Parlimen Pasir Gudang, di sini, semalam.

Ab Aziz berkata, pelantikannya sebagai calon di dua kerusi itu juga membawa misi Pas yang sentiasa komited dalam membantu masyarakat susah, sekali gus memberikan perubahan nilai kehidupan kepada mereka.

“Pas negeri juga mempunyai visi ini dan mahu nasib golongan seperti ini dibela. Kita juga melihat pembangunan rakyat di bawah dan kebajikan menjadi tunjang utamanya.

“Tawaran yang kita berikan itu adalah seperti pemberian air percuma, kita membantu rakyat miskin dalam pembelajaran seperti tuisyen percuma, dan pengangkutan awam percuma untuk anak-anak mereka ke sekolah atau sebagainya. Sebab bila saya berada di bawah sana, ini lah yang berlaku dalam masyarakat,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi calonnya, R Kumutha yang bertanding di Dun Johor Jaya melihat Pas mempunyai mempunyai peluang yang besar untuk menaunginya.

“Dalam Pas kita ada DHPP yang mana ia disertai ahli daripada pelbagai agama dan latar belakang.

“Kita mempunyai matlamat di sini iaitu sekiranya Pas diberi mandat untuk mentadbir kawasan ini, semua kaum boleh bersama kerana parti ini berkhidmat untuk semua,” katanya.

Katanya, Pas tida akan mengasingkan sesiapa kerana komited mengamalkan keadilan untuk semua kaum.

“Kita tak asingkan sesiapa dan atas sebab itu dari PRU 2008 hingga sekarang saya masih bersama Pas.

“Walau dua kali saya gagal saya masih beristiqamah sebab berdasarkan Islam ini adil untuk semua,” katanya.

Ab AzizR KumuthaPasir Gudang Johor Jaya
ARTIKEL BERKAITAN YANG PATUT ANDA BACA :