Rafizi sudah pulang ke Kuala Lumpur – Aminuddin

JOHOR BAHRU – Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Aminuddin Harun memaklumkan bahawa Datuk Seri Rafizi Ramli telah pulang ke Kuala Lumpur pada Sabtu.

“Semalam, selepas selesai pengumuman keputusan rasmi Majlis Pimpinan Pusat (MPP), saya mengajak Rafizi untuk minum dan makan bersama.

“Banyak perkara dibincangkan, termasuk luahan hati kami berdua. Rafizi pada awalnya memaklumkan akan hadir pada hari terakhir Kongres Nasional hari ini.

“Namun, pagi ini beliau memaklumkan bahawa beliau sedang dalam perjalanan pulang ke Kuala Lumpur dan kini sudah selamat tiba,” katanya.

Aminuddin yang juga Menteri Besar Negeri Sembilan berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan sempena Kongres Nasional PKR 2025 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada, pada Sabtu.

Sebelum itu, media melaporkan ketiadaan Rafizi yang tewas dalam saingan jawatan Timbalan Presiden PKR pada hari terakhir Kongres Nasional PKR 2025 telah menimbulkan pelbagai spekulasi dalam kalangan perwakilan.

Keputusan rasmi pemilihan Majlis Pimpinan Pusat (MPP) bagi penggal 2025–2028 yang diumumkan pada malam Jumaat menyaksikan Nurul Izzah Anwar, yang juga bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh, memperoleh 9,803 undi menewaskan Rafizi yang meraih 3,866 undi.