Ramanan tekad bawa suara rakyat, junjung nilai keadilan

JOHOR BAHRU - Naib Presiden PKR baharu, Datuk Seri R Ramanan bertekad membawa suara rakyat, menjunjung nilai keadilan dan memastikan parti berkenaan terus menjadi peneraju perubahan negara.

Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi yang memenangi jawatan berkenaan pada pemilihan parti bagi penggal 2025-2028, turut meletakkan visi membawa suara Malaysia Madani ke pentas nasional dengan semangat reformasi yang tidak pernah luntur.

"Ini bukan kemenangan peribadi tetapi satu amanah besar yang akan saya pikul dengan penuh tanggungjawab, keikhlasan dan dedikasi.

"Marilah kita sama-sama merapatkan saf dan melangkah dengan semangat yang utuh di bawah kepimpinan Presiden Datuk Seri Anwar Ibrahim," katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.

Ramanan yang juga Ketua Cabang Sungai Buloh berkata kini tiba masa untuk ahli dan kepimpinan PKR memperkukuh parti, memperkasakan idealisme perjuangan dan memastikan PKR kekal sebagai wadah utama rakyat yang menjunjung prinsip Malaysia Madani.

Keputusan pemilihan peringkat pusat semalam menyaksikan Ahli Parlimen Sungai Buloh itu memperoleh 5,895 undi dan merupakan muka baharu yang menyertai barisan Naib Presiden.

Tiga lagi Naib Presiden yang berjaya mempertahankan jawatan masing-masing ialah Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari (7,955 undi), Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun (5,889 undi) dan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang (5,757 undi).

Sementara itu, Amirudin dalam perkongsian di Facebook berkata, amanah yang diberikan perwakilan kepadanya bagi penggal baharu akan dipikul dengan tekad untuk memperkukuh parti dan memenangi Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).

"Kini tiba masanya untuk kita semua kembali bertaut, memperkuat saf perjuangan dan mara bersama...misi kita seterusnya adalah PRU16. Semoga Keadilan mencatatkan kemenangan dan Datuk Seri Anwar Ibrahim dapat terus menerajui negara," kata Ahli Parlimen Gombak itu.

Kongres Nasional PKR 2024/2025 berlangsung selama tiga hari bermula Khamis dan berakhir hari ini. - Bernama