'Saya tidak akan terus ratapi keputusan kalah' - Rafizi

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli merakamkan penghargaan terima kasih tidak terhingga kepada semua penyokong yang berdiri teguh bersama kempen pemilihan pasukannya dan berjanji tidak akan terus meratapi keputusan kalah terhadap Timbalan Presiden baharu, Nurul Izzah Anwar pada Jumaat.

Jelas Ahli Parlimen Pandan itu, meskipun telah mengendalikan banyak kempen pilihan raya sebelum ini, beliau terkejut mendapati mesej kempen pemilihannya disambut dengan begitu lantang oleh ramai insan tidak dikenali, sekali pun keputusan akhir pemilihan parti tetap mengecewakan.

Katanya, sejak awal lagi pihaknya telah bersikap telus dan lantang dalam menyuarakan kebimbangan terhadap pelbagai perkara, termasuk perubahan kepada sistem undi 'satu ahli satu undi', integriti sistem pengundian digital serta sikap sambil lewa dalam menangani kelemahan-kelemahan yang timbul.

"Saya memahami rasa kecewa dan hilang harapan dalam kalangan ahli dan penyokong biasa PKR. Pastinya mengambil masa untuk mengikis perasaan bahawa segala pengorbanan bertahun-tahun demi idealisme parti telah menjadi sia-sia.

"Saya juga tidak terkecuali daripada perasaan itu, walaupun hanya seketika. Sebahagian besar usia dewasa saya, hampir 27 tahun, telah saya curahkan kepada perjuangan ini—daripada menerajui Kempen Antarabangsa Bebaskan Anwar, menyandang peranan kepimpinan dalam Angkatan Muda PKR pada awal penubuhannya hinggalah menulis sebuah buku untuk menjelaskan kes perbicaraan Anwar Ibrahim kepada khalayak awam.

"Secara jujurnya, saya tidak terlalu kecewa. Malah, saya berasa lega kerana akhirnya saya boleh kembali kepada kehidupan peribadi, jauh daripada gelagat dan kerenah kuasa," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Pada Jumaat, proses pemilihan yang berlangsung bersekali dengan Kongres Nasional PKR 2025 di Johor Bahru, Johor menyaksikan beberapa perubahan dalam barisan kepimpinan utama parti termasuk kekalahan beberapa penyandang jawatan utama.

Sebelum ini, Naib Presiden, Nurul Izzah Anwar disahkan menewaskan Rafizi dan merampas jawatan sebagai timbalan presiden parti.

Selain Rafizi, pemimpin utama PKR lain yang turut tewas adalah Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad yang kalah dalam perebutan empat slot utama jawatan Naib Presiden

Keputusan rasmi jawatan Timbalan Presiden PKR itu diumumkan Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa dalam Kongres Nasional Keadilan di Persada Johor International Convention Centre Johor Bahru pada Jumaat.

Nurul Izzah yang juga bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh memperoleh 9,803 undi untuk menewaskan penyandang jawatan itu, Datuk Seri Rafizi Ramli yang meraih 3,866 undi.