Rafizi kini mahu luang masa dengan rakyat Malaysia

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli yang tewas dalam pemilihan jawatan Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada Jumaat, tidak berhasrat untuk mengalah dengan kepercayaan idealisme rakyat Malaysia berhak mendapat lebih baik.

Jelas beliau, ia merupakan kepercayaan yang menyebabkan dirinya terlibat dalam politik dan dunia aktivisme sejak awal.

"Setiap masalah ada pelbagai penyelesaian dan setiap halangan ada banyak cara atasinya.

"Dengan lebih banyak masa pada saya, saya bersyukur sekarang saya dapat meluangkan lebih banyak masa dengan rakyat Malaysia," katanya dalam satu kenyataan.

Pada Jumaat, proses pemilihan yang berlangsung bersekali dengan Kongres Nasional PKR 2025 di Johor Bahru, Johor menyaksikan beberapa perubahan dalam barisan kepimpinan utama parti termasuk kekalahan beberapa penyandang jawatan utama.

Sebelum ini, Naib Presiden, Nurul Izzah Anwar disahkan menewaskan Rafizi dan merampas jawatan sebagai timbalan presiden parti.

Selain Rafizi, pemimpin utama PKR lain yang turut tewas adalah Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad yang kalah dalam perebutan empat slot utama jawatan Naib Presiden.

Sementara itu, Rafizi turut berbangga dengan sikap ahli dan penyokong PKR biasa yang kekal teguh mempertahankan idealisme parti sepanjang kempen pemilihan, walaupun berdepan pelbagai kekangan.

Menyifatkan masa depan parti masih mempunyai harapan, beliau turut tersentuh apabila beberapa anak muda PKR menangis dan merayu agar beliau tidak meninggalkan parti walaupun dihimpit rasa dikhianati.

"Terima kasih atas ratusan mesej sokongan yang saya terima. Terima kasih juga kepada yang mendoakan saya.

"Saya amat tersentuh apabila beberapa anak muda dalam parti menangis, merayu agar saya tidak meninggalkan PKR walaupun dihimpit rasa dikhianati. Masih ada harapan.

"Kepada mereka yang berasa kecewa, izinkan saya katakan satu perkara: kita perlu yakin kepada proses. ALLAH (SWT) lebih mengetahui apa yang terbaik buat kita," katanya lagi.