'Saya tak bawa 'cai' sebab itu ambil masa panjang' - Anwar

JOHOR BAHRU - [DIKEMAS KINI] Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa beliau tidak membawa sebarang senarai ‘cai’ dalam proses pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR), sebaliknya meneliti setiap calon secara terperinci sebelum membuat keputusan.

Beliau yang juga Presiden PKR itu berkata, proses tersebut memakan masa kerana mahu memastikan pemilihan dibuat berdasarkan merit dan bukannya pengaruh pihak tertentu.

“Saya tadi tak bawa cai, sebab itu ambil masa panjang. Saya teliti satu-satu, tengok yang terbaik, baru kita undi. Kalau ada cai sana, cai sini... saya tak ikut begitu.

“Saya harap dalam keputusan itu, kedua-duanya diambil kira. Saya rasa itu yang terbaik,” katanya ketika sidang media pada Jumaat.

Sebelum ini, Anwar hadir bersama Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang juga Pengerusi Majlis Penasihat PKR bagi menunaikan tanggungjawab sebagai ahli parti.

Hadir sama Ketua Penerangan PKR, Datuk Fahmi Fadzil dan Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) PKR, Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa.

Pada masa sama, Anwar turut optimis bahawa Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Rafizi Ramli akan hadir ke Kongres Nasional PKR di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor pada malam ini.

"Dia tidak maklumkan kepada saya, tetapi sebagai Timbalan Presiden saya 'assume' dia akan datang, dia selalu datang (program parti).

"Mesyuarat Jemaah Menteri pun dia datang, dia jalankan kerja dengan baik seperti biasa, bentang dan ulas 'paper'," ujarnya.