JOHOR BAHRU – Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) PKR menegaskan tiada sebarang unsur campur tangan atau ‘tangan ghaib’ dalam proses pengundian pemilihan parti yang berlangsung hari ini.
Timbalan Pengerusinya, Datuk Ahmad Kassim berkata, sistem e-undi berasaskan teknologi blockchain yang digunakan membolehkan keputusan diperoleh secara masa nyata.
Bagaimanapun beliau memaklumkan, hanya dua individu mempunyai akses kepada data penuh iaitu dirinya sendiri dan Pengerusi JPP, Datuk Seri Dr Zaliha Mustaffa.
"Kalau ada pandangan berbeza, saya rasa itu kerana mereka tidak faham tentang sistem ini. Mereka hanya buat andaian sedangkan sistem kita sudah diaudit oleh pakar dalaman dan juga audit antarabangsa yang sahkan ia selamat dan telus.
"Bagi pihak JPP, saya yakin sistem ini adil dan kami tidak memihak kepada sesiapa. Tidak ada ‘tangan ghaib’ yang ubah keputusan atau buat perkara yang tidak sepatutnya.
"Cuma kita perlu semak semula semua data untuk pastikan ia benar-benar tepat sebelum diumumkan secara rasmi. Insya-ALLAH, segalanya akan berjalan lancar," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui sebelum Majlis Perasmian Angkatan Muda Keadilan (AMK) di Berjaya Waterfront Hotel, di sini, pada Jumaat.
Kongres Nasional Parti Keadilan Rakyat (PKR) 2024/2025 pagi ini tertumpu kepada proses pemilihan kepimpinan baharu parti bagi sesi 2025-2028.
Proses bagi memilih kepimpinan Majlis Pimpinan Pusat (MPP), Majlis Pimpinan AMK Pusat dan Majlis Pimpinan Wanita Pusat itu bermula jam 8 pagi dan berakhir 5 petang, membabitkan keseluruhan 32,030 pengundi secara fizikal dan dalam talian.
Sementara itu, ketika ditanya mengenai cadangan agar keputusan dipaparkan secara langsung seperti dalam pilihan raya umum, beliau menjelaskan sistem itu hanya memaparkan jumlah kehadiran pengundi secara real-time, bukan keputusan pengundian.
“Contohnya, dalam sistem Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) paparan hanya tunjuk jumlah kehadiran. Keputusan akan diketahui selepas pusat mengundi ditutup dan wakil calon membuat pengiraan serta melaporkannya ke bilik gerakan masing-masing.
“Sama juga dalam pemilihan PKR ini. Walaupun pusat mengundi ditutup jam 5 petang dan saya sendiri sudah tahu siapa menang dan kalah tapi tidak boleh umum selagi belum audit, audit pun sekejap sahaja” ujarnya.
Ahmad yang juga Pengerusi Lembaga Disiplin PKR berkata, proses audit akhir akan dilakukan petang ini dengan kehadiran wakil calon bagi jawatan utama termasuk Timbalan Presiden, Ketua Wanita, Timbalan Ketua Wanita dan AMK.
“Mereka akan menyaksikan sendiri bagaimana keputusan ditarik daripada sistem blockchain dan ditukar ke Borang 14.
“Kita mahu semua pihak lihat proses ini dengan jelas dan yakin terhadap ketelusan JPP. Apa yang ahli undi, itulah keputusan sebenar,” ujarnya.