SHAH ALAM - Calon Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri R Ramanan menegaskan beliau bukan 'raja formula', sebaliknya berpandukan fakta dalam meletakkan sasaran parti itu untuk memenangi sehingga 80 kerusi pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
Menurut beliau, sasaran itu berasaskan rekod pencapaian parti sebelum ini dan bukan sekadar retorik atau angan-angan politik.
“Saya tiada formula, cuma ada fakta sahaja," katanya ketika ditemui selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Seminar Asas Keusahawanan Tekun Nasional di sini pada Sabtu.
Mengulas lanjut, Ramanan memberi contoh kemenangan PKR memenangi 50 kerusi pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu di bawah pimpinan calon Timbalan Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar, membuktikan angka lebih besar bukan sesuatu yang mustahil.
"Beliau (Nurul Izzah) adalah ‘raja perang’ kita dan perlu bawa dia balik untuk (menghadapi) PRU16, sebab itu saya menyatakan mungkin menang 50, 60, 70, malah 80 kerusi, jadi apa salahnya ada harapan?” katanya.
Ramanan yang juga Timbalan Ketua Penerangan parti itu mengingatkan ahli politik agar tidak hanya beretorik tanpa mendengar pandangan orang lain.
"Ahli politik bila kita bagi mikrofon, dia tidak akan berhenti bercakap dan tidak mahu mendengar, sebaliknya kena buka telinga, kalau tidak, saya boleh tolong beri alat pendengaran," jelas beliau.
Terdahulu, Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Rafizi Ramli menyifatkan dakwaan Ramanan bahawa parti itu berpotensi memenangi sehingga 80 kerusi parlimen pada PRU16 sebagai tidak berpijak pada realiti.