KOTA BHARU - Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Rafizi Ramli meminta pihak yang mendakwa wujud pelanggaran disiplin sepanjang tempoh berkempen dalam pemilihan kali ini supaya mengemukakan aduan kepada Lembaga Disiplin parti untuk disiasat.
Beliau berkata, tindakan perlu diambil mengikut saluran yang telah ditetapkan bagi membolehkan siasatan secara adil dilaksanakan.
“Saya bersetuju dengan saranan supaya tidak menyerang peribadi sepanjang tempoh berkempen, tetapi perkara itu perlu diteliti secara adil dan meliputi semua pihak.
“Apa-apa tindakan perlu dikenakan kepada semua dan berlaku adil. Jangan masa dia serang, dia rasa tak buat salah – dia baling batu sembunyi tangan. Bila saya jawab, dia rasa panas, dia berlari ke Lembaga Disiplin,” katanya kepada pemberita selepas program Jelajah Hidupkan Idealisme Reformasi Dalam Ujian Kuasa (HIRUK) Kelantan di Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Kelantan di sini pada Jumaat malam.
Menurut beliau, serangan peribadi terhadap dirinya bermula secara tiba-tiba seolah-olah ia telah dirancang.
Ujarnya, hal ini kerana pelbagai kenyataan dikeluarkan menyatakan kononnya akar umbi menolak kepimpinannya.
“Kemudian, tiba-tiba keluar cerita saya tidak menjaga akar umbi. Saya tahu ini adalah sebahagian daripada kempen, jadi pastikan ia berlaku secara adil.
“Prosesnya mudah – kalau ada yang merasakan tindakan mana-mana calon menyerang peribadi, individu itu boleh membuat laporan kepada Lembaga Disiplin. Saya yakin Lembaga Disiplin akan menjalankan siasatan secara adil,” katanya.