Siapa poster boy GRS-PH-BN?

SHAH ALAM - Kerjasama Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dilihat mempunyai lebih banyak kekurangan berbanding kelebihan bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17) Sabah.

Penganalisis politik, Mujibu Abd Muis berkata, ia memandangkan naratif tempatan terus kuat di Sabah dan terdapat persepsi bahawa gabungan PH dan BN merupakan parti dari Semenanjung.

“Itu salah satu kekurangan dan seterusnya, isu pertembungan kerusi antara gabungan utama akan menjadi kekurangan besar dalam strategi kerjasama mereka.

“Selain itu, persoalan paling penting ialah siapa poster boy untuk diangkat menjadi calon Ketua Menteri Sabah sekiranya gabungan itu memenangi PRN17?” katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Menurutnya, beberapa kekurangan terbabit perlu diberi perhatian memandangkan ia dikhuatiri menjadi faktor yang mempengaruhi pengundi untuk membuat pilihan pada PRN Sabah akan datang.

“Jika Ketua Menteri Sabah akan memimpin negeri itu dilihat tidak meyakinkan, maka rakyat akan mengundi parti lain yang mempunyai poster boy lebih meyakinkan dan mampu memancing undi,” ujarnya.

Mujibu tidak menolak bahawa sekiranya kerjasama terbabit direalisasikan, maka ia mungkin akan memberi kelebihan kepada Warisan sebagai sebuah parti lokal.

Bagaimanapun, beliau turut berpandangan, masih terlalu awal untuk membuat andaian memandangkan masih ada tempoh masa agak panjang sebelum PRN Sabah.

“Mungkin PRN Sabah diadakan pada bulan Julai, mungkin Ogos ataupun September.

“Jadi, macam-macam perkara boleh berlaku dalam tempoh tersebut,” jelasnya.

Beliau berkata, GRS berkemungkinan sukar untuk bekerjasama dengan BN, begitu juga sebaliknya menyebabkan PH dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu menjadi penghubung utama dalam membentuk pakatan kerjasama pada PRN Sabah.

Dalam perkembangan sama, beliau memaklumkan setiap daerah di Sabah mempunyai corak kecenderungan menyokong yang berbeza disebabkan pelbagai faktor seperti sentimen kewilayahan.

“Ada daerah setia kepada parti, jadi letaklah siapa pun, asalkan dari parti sama tersebut, maka rakyat akan memberi sokongan. Namun, ada daerah pula setia kepada kepimpinan.

“Ada juga daerah sinonim dengan kaum tertentu, jadi kaum itu yang mendominasi.

“Selain itu, ada juga faktor personaliti disebabkan politik personaliti masih kuat menyebabkan calon-calon bebas yang kuat dan ada kredibiliti kukuh boleh menang,“ jelas beliau.

Justeru, Mujibu mengingatkan parti-parti bertanding supaya tidak hanya menumpukan pada satu isu sahaja, sebaliknya menekankan semua faktor yang mempengaruhi pengundi Sabah.