SHAH ALAM - Angkatan Muda Keadilan (AMK) membidas kenyataan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh yang mengatakan BN tidak akan menyerahkan mana-mana kerusi dimenangi kepada PH bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka akan datang.
Menurut Pengarah Komunikasi AMK, Haziq Azfar Ishak, jika formula Dr Muhamad Akmal dijadikan asas rundingan, BN tidak layak mendapat kerusi dengan bilangan tiga kali ganda lebih banyak pada PRN Selangor sebelum ini berbanding keputusan BN di DUN pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
“Lebih parah lagi, BN mungkin tidak layak menerima walau satu kerusi pun dalam agihan PRN Selangor dan Pulau Pinang lalu. Ini memandangkan tiada kerusi dimenangi mereka dalam Parlimen pada PRU15 di negeri tersebut jika mahu dinilai prestasi pilihan raya terkini,” katanya.
Haziq berkata, kenyataan Dr Muhamad Akmal juga mencerminkan keengganan untuk ambil kira prestasi semasa, termasuk keputusan pilihan raya selepas PRN Melaka, kekuatan jentera, penerimaan rakyat setempat serta potensi kemenangan dalam menentukan agihan kerusi.
“Pendekatan keras dan bersifat dominasi seperti ini langsung tidak menambah nilai mana-mana perbincangan politik, apatah lagi usaha bina muafakat dalam Kerajaan Perpaduan,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Sebelum ini, Dr Muhamad Akmal berkata, BN yang mendominasi DUN Melaka ketika ini tidak akan menyerahkan kerusi dimenangi PRN lalu kepada PH termasuk cadangan pembahagian kerusi 14 BN dan 14 PH.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau itu berkata, semasa rundingan menjelang PRN lalu, PH sukar bersetuju memberikan kerusi dimenangi parti komponennya kepada BN.
Pemuda Parti Amanah Nasional (Amanah) turut membidas tindakan Dr Muhamad Akmal yang menolak cadangan agihan kerusi 14 -14 dalam kerajaan campuran negeri Melaka.
Exco Pemuda Amanah, Fadhli Umar Aminolhuda menyifatkan kenyataan itu tidak mencerminkan muafakat dalam Kerajaan Perpaduan.