SERDANG – Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Rafizi Ramli berlapang dada menerima kritikan Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim, yang mempersoalkan tindakannya mempertahankan jawatan Timbalan Presiden dalam pemilihan parti kali ini.
Rafizi yang juga Menteri Ekonomi berkata, beliau tidak berkecil hati meskipun banyak membantu Hassan sewaktu tokoh itu menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR) selepas 2008.
“Kalau hendak kecil hati dengan Hassan Karim memang patut, sayalah orang yang membawanya masuk ke dalam parti ini kerana sebelum itu beliau bukan ahli PKR.
“Saya masih ingat, kali pertama Hassan bertanding adalah pada Pilihan Raya Umum 2008 di Parlimen Johor Bahru atas tiket Parti Rakyat Malaysia (PRM) tetapi tewas.
“Kemudian saya beri peluang kepada Hassan bertanding lagi dan beliau menang di Parlimen Pasir Gudang yang disandangnya sehingga sekarang atas tiket PKR,” katanya dalam program audio siar Yang Bakar Menteri: Yang Berhenti Menteri di Dewan Serbaguna MBSJ pada Sabtu.
Rafizi turut mendedahkan bahawa beliau banyak membantu Hassan termasuk dalam soal kewangan ketika kempen pilihan raya umum, khususnya ketika berdepan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.
“Saya pergi jumpa Hassan dan memberitahunya bahawa beliau akan bertanding semula di Pasir Gudang. Tapi beliau beritahu tiada wang, jadi kami adakan kutipan derma kilat dan bayarkan deposit untuknya.
“Saya juga berceramah untuknya ketika dikelilingi penyokong UMNO. Jadi saya ingin dedahkan kepada anak muda bahawa hidup ini keras dan manusia boleh berubah-ubah.
“Namun, dalam politik kita kena ingat bahawa ada dua hakim, pertama, Allah SWT dan kedua, rakyat serta pengundi yang menilai setiap tindak-tanduk kita,” ujarnya.