PRN Sabah: Kerjasama politik jangan sampai pinggir suara tempatan

KOTA KINABALU - Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menegaskan komitmen untuk terus mengutamakan aspirasi rakyat dan suara akar umbi, khususnya dalam konteks politik negeri yang kadangkala terpinggir dalam perbincangan di peringkat nasional.

Ketua Penerangan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, pendirian itu amat penting ketika wujud perbincangan politik di peringkat nasional yang kadangkala gagal mengambil kira sensitiviti dan konteks politik negeri ini.

"Kami menghormati peranan parti-parti nasional dalam kerangka Kerajaan Perpaduan, namun kerjasama politik mesti berpaksikan prinsip saling menghormati, bukan dengan meminggirkan kekuatan dan suara tempatan.

"Mana-mana percubaan untuk membentuk kerjasama baharu tanpa melibatkan GRS atau tanpa melalui saluran muafakat sedia ada adalah tindakan pra-matang yang tidak mencerminkan keikhlasan kepada rakyat Sabah," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Sehubungan itu, Nizam yang juga Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri menyokong penuh kenyataan yang dikeluarkan Presidennya, Datuk Seri Hajiji Noor yang memberi keutamaan parti-parti tempatan dalam menentukan hala tuju politik Sabah.

"Sebagai Ketua Penerangan Gagasan Rakyat, saya menyokong sepenuhnya pendirian bahawa parti-parti tempatan harus menjadi teras kepada pentadbiran negeri kerana hanya parti tempatan yang benar-benar memahami realiti, budaya dan keperluan rakyat Sabah.

"Oleh itu, Gagasan Rakyat kekal komited memperkukuh GRS sebagai platform utama memperjuangkan kestabilan politik, kedaulatan suara tempatan dan kemajuan berterusan buat negeri Sabah," katanya.

Sementara itu, Ketua Pemuda Gagasan Rakyat Bahagian Tanjung Keramat, Burhanuddin Yahya Hussin menegaskan bahawa GRS tetap berpendirian bahawa kerajaan negeri harus dikelola oleh parti tempatan Sabah.

"Ia demi kepentingan dan masa depan rakyat negeri ini. Kunci kejayaan kerajaan negeri adalah kestabilan politik.

"Situasi bertukar-tukar kerajaan ini tidak membawa apa-apa kemajuan kepada rakyat Sabah," tegasnya.

Oleh itu, Burhanuddin menggesa agar semua ahli Gagasan Rakyat agar memperkukuhkan barisan perjuangan demi memastikan kestabilan dan pembangunan berterusan di negeri ini.

Sebelum itu, Hajiji dalam kenyataannya pada Jumaat menyatakan kesediaan GRS untuk bertanding solo jika kerjasama Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) dimuktamadkan bagi menghadapi Piliahan Raya Negeri (PRN) Sabah.