21 cabang PKR Sabah sokong Nurul Izzah calon Naib Presiden

KOTA KINABALU - [DIKEMAS KINI] Sebanyak 21 cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) di Sabah menyatakan sokongan terhadap Nurul Izzah Anwar sebagai calon Naib Presiden PKR dalam pemilihan parti itu.

Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Sabah, Datuk Mustapha Sakmud berkata, sebagai wakil daripada 21 cabang tersebut, Nurul Izzah merupakan seorang tokoh wanita muda yang berprinsip, berwibawa dan berpengalaman luas dalam perjuangan reformasi sejak lebih dua dekad lalu.

Katanya lagi, Nurul Izzah bukan sahaja simbol harapan rakyat, malah menjadi suara progresif yang sentiasa memperjuangkan keadilan sosial, reformasi institusi dan hak rakyat di seluruh negara.

"Kami percaya bahawa kehadiran beliau di barisan kepimpinan tertinggi parti akan membawa nafas baharu, memperkukuh agenda reformasi serta mengangkat suara akar umbi, khususnya di Sabah yang selama ini memerlukan perhatian daripada pemimpin yang berjiwa rakyat dan peduli dengan perjuangan rakyat Sabah terutama perlaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

"Selaku Ketua-Ketua Cabang PKR Sabah, kami ingin menyatakan sokongan penuh dan tidak berbelah bahagi terhadap pencalonan Nurul Izzah sebagai Naib Presiden seperti yang diumumkan oleh beliau sebelum ini.

"Bagi jawatan Timbalan Presiden, pihak kami sedang menunggu pengumuman rasmi daripada beliau dan bersedia menyokong jika memberi kebaikan kepada perjuangan parti," katanya dalam kenyataan bersama daripada ketua-ketua cabang PKR Sabah, pada Rabu.

Katanya lagi, barisan kepimpinan cabang di Sabah ketika ini sedang menunggu pengumuman rasmi daripada beliau sendiri dan akan bersedia menyokong jika ia memberi kebaikan kepada perjuangan parti.

"Kami yakin ketokohon beliau sebagai Puteri Reformasi mampu untuk memartabatkan imej parti dikalangan generasi muda dan memberi harapan dan nafas baru kepada gerakan reformasi dalam menjayakan gagasan Malaysia Madani," katanya.

Bagaimanapun, beliau turut mengingatkan penilaian risiko perlu dibuat sebelum pengumuman dibuat.

"Kita tidak mahu parti terus bergolak dengan pelbagai spekulasi yang banyak menimbulkan keraguan dan syak wasangka.

"Perlu dipastikan parti reformasi ini terus didokong oleh rakyat dan menjadi harapan untuk masa depan yang lebih baik.

"Kita perlu kembali kepada asas penubuhan parti ini dan idealisma perjuangan yang kita dokong selama ini. Sabah akan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi," katanya.

Sehubungan itu, pihaknya berharap sebarang keputusan dan tindakan akan terus mengukuhkan parti dimata rakyat Sabah dan memberi keyakinan kepada ahli dan pengundi.