SHAH ALAM – Ketua Wanita Parti Keadilan Rakyat (PKR), Fadhlina Sidek, menyatakan sokongan penuh terhadap Nurul Izzah Anwar sebagai calon Timbalan Presiden PKR bagi pemilihan parti penggal 2025–2028.
Fadhlina menegaskan bahawa sokongan tersebut bukan kerana Nurul Izzah ialah anak kepada Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, tetapi berdasarkan kredibiliti dan komitmen beliau dalam perjuangan parti sejak penubuhannya. Beliau menyifatkan Nurul Izzah sebagai tokoh rejuvenasi yang diperlukan untuk memastikan kelangsungan dan kesinambungan perjuangan parti.
"Saudari Nurul Izzah ialah tokoh pimpinan muda yang lahir dalam arus centang-perenang ketika Keadilan membina kekuatan di akar umbi," kata Fadhlina dalam satu kenyataan pada Rabu.
Tambah beliau, Nurul Izzah telah terlibat dalam pelbagai fasa penting parti, termasuk gelombang reformasi, penubuhan PKR dan pembentukan Kerajaan Madani. Komitmen beliau dalam isu-isu kemanusiaan dan pemberdayaan wanita di peringkat antarabangsa turut menjadi faktor sokongan.
Sokongan terhadap Nurul Izzah turut disuarakan oleh Angkatan Muda Keadilan (AMK), yang melihat pencalonan beliau sebagai langkah strategik untuk memperkukuh barisan kepimpinan masa hadapan parti.
Pemilihan kepimpinan pusat PKR dijadualkan berlangsung pada 24 Mei ini, dengan proses pencalonan dan pemilihan pucuk pimpinan pusat parti diadakan pada 8 dan 9 Mei.