22 cabang PKR Perak sokong Nurul Izzah tanding Timbalan Presiden

IPOH – Sebanyak 22 cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) di Perak menyatakan sokongan terbuka kepada Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar untuk bertanding jawatan Timbalan Presiden parti itu bagi sesi 2025–2028.

Difahamkan cabang berkenaan ialah Kuala Kangsar, Tapah, Gerik, Kampar, Ipoh Barat, Ipoh Timor, Bagan Datuk, Teluk Intan, Taiping, Batu Gajah, Tambun, Bukit Gantang, Beruas, Bagan Serai, Lenggong, Sungai Siput, Lumut, Padang Rengas, Parit Buntar, Larut, Pasir Salak dan Parit

Timbalan Pengerusi PKR Perak, Mohd Azlan Helmi berkata, setakat ini terdapat 22 cabang menyatakan sokongan terbuka terhadap Nurul Izzah untuk jawatan berkenaan.

Beliau berkata, keputusan menyatakan sokongan itu dibuat atas rasa tanggungjawab terhadap kesinambungan perjuangan reformasi yang menjadi teras penubuhan parti sejak lebih dua dekad lalu.

"Nurul Izzah bukan asing dalam pentas perjuangan PKR. Beliau telah membuktikan keteguhan prinsip dan iltizam sejak hari pertama gerakan reformasi digerakkan.

"Beliau membawa kekuatan nilai dan wawasan yang amat diperlukan untuk memimpin parti menghadapi cabaran mendatang," katanya dalam satu kenyataan kepada Sinar Harian pada Rabu.

Menurutnya, pemilihan Nurul Izzah bukan semata-mata soal personaliti atau warisan politik, sebaliknya atas keperluan memastikan PKR terus kekal relevan dalam politik tanah air.

Mohd Azlan menegaskan, tokoh muda itu diyakini mampu menjadi jambatan antara generasi pengasas reformasi dan generasi baharu, di samping memperkukuh sinergi dalam Kerajaan Perpaduan.

"Saya percaya beliau mampu membawa nilai kesederhanaan, ketegasan prinsip dan daya fikir progresif yang penting untuk menyuntik semangat baharu dalam parti.

"Atas dasar itu, majoriti cabang PKR di Perak berdiri teguh menyokong Nurul Izzah sebagai calon Timbalan Presiden PKR bagi sesi pemilihan 2025–2028," katanya yang juga Timbalan Ketua Cabang PKR Kampar.

Beliau turut menyeru seluruh anggota parti untuk bersama mendukung pencalonan tersebut demi masa depan PKR yang lebih adil, progresif dan inklusif.

Terdahulu, PKR Cabang Tapah dan Gerik antara yang terawal di negeri ini menyatakan sokongan terhadap Nurul Izzah untuk bertanding merebut jawatan berkenaan.


Nurul Izzah angkat kepimpinan wanita ke tahap tertinggi

IPOH - Nurul Izzah Anwar perlu diberikan ruang bertanding jawatan Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu bagi membolehkan kepimpinan wanita diangkat ke peringkat lebih tinggi.

Wanita Perak dalam satu kenyataan pada Rabu berkata, sejak awal gerakan reformasi, Nurul Izzah telah memainkan peranan penting sebagai aktivis masyarakat yang lantang membela hak asasi manusia, memperjuangkan dasar-dasar inklusif, dan memperkukuh suara rakyat dalam parti.

Jelasnya, ketekunan, keberanian dan komitmen bekas Naib Presiden PKR itu terhadap reformasi menjadikannya pemimpin yang berpegang teguh pada prinsip walau berdepan tekanan politik yang besar.

"Beliau turut aktif membina kapasiti anak muda dan wanita sebagai agen perubahan dalam masyarakat. Kami menyeru seluruh ahli dan kepimpinan PKR untuk bersama mengangkat Nurul Izzah ke saf kepimpinan tertinggi parti.

"Ini adalah langkah strategik untuk memperkukuh struktur parti, menyuburkan kembali nilai-nilai reformasi dan mempersiapkan PKR menghadapi cabaran masa depan dengan lebih kukuh dan berwibawa," katanya dalam kenyataan tersebut.

Sementara itu, nada sama turut dinyatakan Angkatan Muda Keadilan (AMK) Perak yang menyokong pencalonan Nurul Izzah sebagai Timbalan Presiden PKR.

Ketua AMK Perak, Zaim Sidqi Zulkifly berkata, Nurul Izzah bukan sahaja merupakan tokoh reformasi yang konsisten, tetapi juga simbol harapan generasi muda Malaysia.

"Kami percaya bahawa Nurul Izzah memiliki visi yang jelas untuk memacu PKR ke hadapan dalam mendepani cabaran politik semasa, memperkukuh struktur parti serta merapatkan jurang antara kepimpinan pusat dan akar umbi, khususnya anak muda.

"AMK Perak turut yakin bahawa gabungan pengalaman, idealisme dan integriti yang dimiliki oleh Nurul Izzah Anwar akan memberi nafas baharu kepada PKR dan menjadikan parti ini terus relevan serta dekat dengan denyut nadi rakyat," katanya di dalam kenyataan bersama 20 Ketua AMK Cabang di Perak.

Terdahulu, Timbalan Pengerusi PKR Perak, Mohd Azlan Helmi memaklumkan kepada Sinar Harian bahawa sebanyak 22 PKR Cabang di Perak sudah menyatakan sokong terhadap Nurul Izzah.