SHAH ALAM - Parti Keadilan Rakyat (PKR) mempersiapkan Nurul Izzah Anwar untuk masa depan parti bagi menghadapi zaman dan cabaran baharu yang melangkaui individu mahupun nama keluarga.
Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Adam Adli Abdul Halim berkata, dalam suasana politik yang semakin kompleks, Nurul Izzah menjadi sosok yang bukan sahaja berwibawa dan berprinsip, tetapi juga mampu meniupkan semangat reformasi kepada generasi baharu, merentas pelbagai latar yang ada.
Justeru, menurutnya, selepas membuat penilaian sebaik-baiknya, tanpa mengurangkan rasa hormat kepada mana-mana pimpinan parti, beliau menyokong pencalonan Nurul Izzah Anwar sebagai Timbalan Presiden dalam Pemilihan 2025.
"Parti ini sedang dipersiapkan untuk menghadapi zaman dan cabaran baharu, dan Nurul Izzah di barisan hadapan adalah tanda komitmen kita terhadap kesinambungan idealisme reformasi, melangkaui individu mahupun nama keluarga.
"Nurul Izzah adalah sebahagian daripada sejarah panjang Keadilan (PKR), dan beliau juga adalah masa hadapan untuk Keadilan," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Beliau menambah, PKR telah melahirkan pelbagai lapisan generasi dan latar belakang sejak awal penubuhannya, dan kepelbagaian tersebut turut mencipta banyak jurang yang menuntut parti untuk mengangkat pemimpin paling berkesan dalam merapatkan jurang-jurang tersebut, sama ada jurang generasi mahupun jurang gender.
"Nurul Izzah juga merupakan Naib Presiden yang antara paling berpengalaman sejak usia awal parti, mewakili suara rakyat sebagai ahli Parlimen selama tiga penggal serta mengabdikan diri sebagai aktivis hak asasi manusia di luar takwim politik.
"Beliau konsisten mengangkat nilai keadilan, integriti dan pembaharuan institusi," katanya.
Persaingan bagi jawatan Timbalan Presiden bagi penggal 2025–2028 menjadi tumpuan menjelang pemilihan parti yang dijadualkan pada 24 Mei ini.
Sejak Selasa, sekurang-kurangnya 30 pemimpin cabang dan sayap dari Selangor, Melaka, Perak, Negeri Sembilan, Pulau Pinang dan Johor menzahirkan sokongan terbuka terhadap Nurul Izzah bagi merebut jawatan nombor dua dalam PKR.