Tangguh penamaan calon, beri laluan urusan pentadbiran parti - Dr Zaliha

SHAH ALAM - Penangguhan pencalonan Pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) 2025 bagi peringkat Majlis Pimpinan Pusat (MPP), Angkatan Muda Keadilan (AMK) Pusat dan Wanita Pusat dibuat bagi memberi laluan kepada urusan pentadbiran parti.

Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP), Datuk Seri Dr. Zaliha Mustafa berkata, terdapat beberapa perkara penting berkaitan pentadbiran dan pelaksanaan proses pemilihan yang perlu diselesaikan.

Menurutnya, ia termasuk urusan pengundian semula, pemuktamadan struktur jawatankuasa di peringkat cabang serta pengesahan senarai perwakilan ke Kongres Nasional.

“JPP ingin memaklumkan bahawa tarikh penamaan calon bagi pemilihan di peringkat MPP, AMK Pusat dan Wanita Pusat yang dijadualkan sebelum ini pada 3 dan 4 Mei adalah ditangguhkan ke 8 dan 9 Mei 2025, selaras dengan keputusan yang telah dipersetujui oleh MPP.

“JPP komited untuk memastikan keseluruhan proses pemilihan peringkat pusat dapat dijalankan secara telus, tersusun dan lancar,” katanya menerusi laman Facebook pada Sabtu.

Untuk makluman, penamaan calon peringkat pusat akan dilaksanakan sepenuhnya secara dalam talian melalui laman sesawang https://pencalonanpusat.keadilanrakyat.org.