SHAH ALAM - Firma penyelidikan bebas, Ilham Centre meramalkan Barisan Nasional (BN) tidak berdepan masalah besar untuk mengekalkan kemenangan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning.
Bagaimanapun, Ketua Pegawai Eksekutif Ilham Centre, Hisommudin Bakar berkata, persoalan utama ialah sama ada gabungan itu mampu mencapai sasaran majoriti tinggi sebanyak 18,000 undi seperti disasarkan kerajaan negeri.
"Berdasarkan pemerhatian selama dua minggu kempen, Ilham Centre mendapati BN secara relatifnya tidak menghadapi masalah besar untuk mengekalkan kerusi DUN ini.
"Persoalan utama, sejauh mana kerjasama PH dalam Kerajaan Perpaduan mampu meningkatkan sokongan pengundi untuk mencapai sasaran majoriti tinggi sebanyak 18,000 yang diumumkan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Baru-baru ini, Saarani yang juga Pengerusi BN Perak menyasarkan sekurang-kurangnya 18,000 undi bagi mempertahankan kerusi DUN Ayer Kuning pada PRK yang dijadualkan berlangsung esok.
Mengulas lanjut, Hisommudin berkata, sasaran itu memberi tekanan langsung kepada jentera kempen BN dan PH untuk membuktikan keberkesanan kerjasama melalui keputusan akhir pengundian
Tambah beliau, hasil kajian Ilham Centre mendapati sebahagian besar responden menyifatkan sasaran berkenaan sukar dicapai
Sementara itu, Hisommudin berkata, fokus utama pihak Perikatan Nasional (PN) adalah mengekalkan momentum sokongan pengundi Melayu khususnya anak muda yang menjadi kekuatan mereka pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lepas.
"Jika PN berjaya mengekalkan jumlah undi terdahulu, ia sudah dianggap sebagai pencapaian besar memandangkan PN berjaya menguasai empat Pusat Daerah Mengundi (PDM) majoriti Melayu di Ayer Kuning pada PRU lepas, sekali gus mencabar dominasi tradisi UMNO," ujar beliau.
Sehubungan itu, beliau berpandangan, PRK DUN Ayer Kuning akan menjadi medan penting menentukan sama ada PN mampu mempertahankan prestasi tersebut atau kembali kehilangan cengkaman kepada BN.
Kongsi beliau lagi, Ilham Centre turut menyimpulkan PRK terbabit sebagai penanda aras kritikal bagi menilai keberkesanan kerjasama dalam Kerajaan Perpaduan.
Kata Hisommudin, PRK itu juga dapat menilai pengaruh sebenar PN dalam kalangan pengundi muda Melayu dan sejauh mana faktor peribadi calon mempengaruhi keputusan pengundian serta hala tuju politik setempat menjelang pilihan raya akan datang.