SHAH ALAM – Kekalahan beberapa pemimpin kanan dalam pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) bukanlah sesuatu yang luar biasa, namun ia tidak harus dipandang ringan.
Penganalisis politik dari Universiti Sains Malaysia, Profesor Datuk Dr Sivamurugan Pandian berpandangan, walaupun Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah menegaskan bahawa tiada keperluan untuk rombakan Kabinet susulan pemilihan parti, kekalahan tersebut tetap memberi isyarat penting yang perlu diteliti secara menyeluruh.
“Sekarang ini, seolah-olah wujud teori domino untuk mengetepikan satu kumpulan daripada parti dan ini bolehlah dianggap sebagai wake-up call kepada kepimpinan parti agar tidak beranggapan bahawa jawatan akan kekal selamanya.
“Saya melihat antara faktornya adalah komunikasi yang barangkali telah menjejaskan prestasi mereka sehingga tewas.
“Ini sesuatu yang agak mengejutkan kerana berlaku di seluruh negara, tetapi harus diingat bahawa ia juga adalah amalan demokrasi parti,” katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mengesahkan tiada rombakan Kabinet susulan pemilihan PKR, yang menyaksikan menteri dan beberapa timbalan menteri tewas di peringkat bahagian.
Mengulas kenyataan Anwar, Sivamurugan bersetuju bahawa pelantikan anggota Kabinet kekal sebagai kuasa prerogatif Perdana Menteri yang akan menasihati Yang di-Pertuan Agong.
Jelasnya, rombakan bagaimanapun boleh dibuat mengikut kesesuaian masa kerana kekosongan akan berlaku apabila Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz akan tamat tempoh sebagai Senator di Dewan Negara pada penghujung tahun ini.
“Pada waktu itu, pemilihan parti juga akan berakhir. Saya percaya Perdana Menteri juga pasti akan mendapatkan maklum balas semua pihak, terutamanya akar umbi, supaya isyarat daripada parti sendiri turut diambil kira.
“Ia bertujuan untuk membawa kebangkitan, pembaharuan struktur dalam parti dan pengukuhan kepimpinan yang berubah generasi, mungkin barangkali perlu diangkat ke dalam Kabinet,” ujarnya.
Jelas Sivamurugan, Anwar yang juga Presiden PKR perlu melihat secara menyeluruh pemilihan dalam parti dan sejauh mana impaknya kepada keyakinan terhadap pemimpin yang tidak memegang sebarang jawatan dalam parti.
Perkara tersebut, katanya, penting untuk memastikan ia tidak mempengaruhi sentimen dan persepsi terhadap kepimpinan dan pentadbiran beliau sehingga menjadi bahan politik oleh pesaing politik.
“Bagaimanapun, Perdana Menteri boleh terus mengekalkan mereka jika beranggapan prestasi sebagai ahli Kabinet amat memberangsangkan,” jelasnya.