TAPAH - [DIKEMAS KINI] Calon Perikatan Nasional (PN), Abd Muhaimin Malek menggariskan lima tawaran utama sebagai komitmen wakil rakyat dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning.
Semua tawaran tersebut dipilih memenuhi ciri T.E.K.A.D iaitu tanggungjawab kesihatan dan alam sekitar; ekonomi rakyat dan usahawan diperkasa.
Turut digariskan aspek khidmat masyarakat, kebajikan dan keharmonian; akses kemudahan dan infrastruktur dipertingkat serta dengar suara rakyat.
Abd Muhaimin berkata, semua tawaran itu bukan sekadar janji, tetapi satu iltizam jangka panjang untuk membawa perubahan yang realistik, menyeluruh dan berpaksikan kepada kepentingan rakyat
"Hasil TEKAD ini pun hasil daripada rintihan dan juga suara-suara rakyat. Setiap kali kita turun ke peringkatbakar umbi, melihat kampung dan meninjau lokaliti, mereka mengadu tentang isu keselamatan, alam sekitar, isu sampah dan jalan.
"Semua isu dibangkitkan ini telah pun lama berlaku dan belum dapat diselesaikan lagi, jika ada pun (penyelesaian) masih di peringkat separuh jalan," katanya dalam sidang akhbar di Pusat Media PN di sini pada Selasa.
Hadir sama, Naib Presiden Pas, Datuk Idris Ahmad.
Beliau berkata, antara perincian diberi penekanan adalah memperjuangkan isu pencemaran yang menjejaskan kesihatan penduduk.
Katanya, usaha di bawah tanggungjawab kesihatan dan alam sekitar itu termasuklah tindakan tegas terhadap ladang babi haram dan sistem sisa yang tidak cekap.
"Saya juga komited untuk menggalakkan teknologi hijau dan sistem zero discharge dalam aktiviti penternakan dan pertanian," katanya.
Abd Muhaimin berkata, menerusi pemerkasaan ekonomi rakyat dan usahawan, beliau berhasrat membantu usahawan kecil melalui latihan asas keusahawanan, pertanian moden dan pemasaran digital termasuk penggunaan kecerdasan buatan (AI) dengan kerajasama agensi berkaitan.
"Kita juga akan perkenalkan inisiatif #BuatanAyerKuning bagi mempromosi produk tempatan melalui pendekatan kos rendah dan sokongan komuniti," ujarnya.
Sekiranya dipilih sebagai wakil rakyat, beliau bersedia membuka dua pusat khidmat tetap dan satu bergerak, selain program #AyerKuningSejahter untuk menggiatkan kerja-kerja sukarelawan membantu OKU, warga emas dan kes kecemasan.
"Kita juga akan memperluas pendidikan Islam serta memupuk keharmonian antara kaum di DUN Ayer Kuning ini," katanya.
Selaras dengan keperluan semasa, Yang Dipertua Pas Kawasan Tapah itu juga mahu memastikan suara rakyat mengenai liputan internet, lampu jalan, jalan rosak dan kemudahan lain dibawa terus ke agensi terlibat.
Katanya, usaha juga akan digerakkan untuk membina trek belia dan membaik pulih masjid serta pasar awam dengan kerjasama Agensi Kerajaan.
"Saya berjanji untuk menjadi suara rakyat yang lantang di DUN Perak – membawa isu tanah, membantah dasar yang membebankan rakyat.
"Juga membentangkan Laporan Tahunan ADUN Ayer Kuning sebagai tanda komitmen kepada ketelusan dan pertanggungjawaban," katanya.
Sebelum ini, Naib Presiden Pas, Datuk Idris Ahmad mendakwa terdapat 30 ladang babi yang diluluskan serta berlesen di dua daerah iaitu Batang Padang dan Mualim dengan jumlah itu mungkin lebih tinggi jika dicampurkan dengan ladang haram.
Pada 13 April lepas, Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil memaklumkan, berdasarkan ujian kelajuan (drive test) yang dijalankan SKMM pada Mac mendapati, masih terdapat banyak kawasan yang tidak memenuhi piawaian Standard Mandatori bagi Kualiti Perkhidmatan (MSQoS), iaitu kelajuan minimum 7.5 Mbps yang akan ditingkatkan kepada 10 Mbps tahun depan.
Bagaimanapun masalah capaian internet itu bukan hanya berlaku di kawasan DUN Ayer Kuning, tetapi turut melibatkan tempat lain seperti Belaga dan Ulu Rajang di Sarawak, Bandar Baharu Serenia, kawasan luar Tambun serta Pulau Pangkor, malah beberapa kampung Orang Asli turut terjejas.