'Ada tangan ghaib atur keputusan'

SHAH ALAM - Pemilihan peringkat cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) 2025 yang menyaksikan keputusan luar jangka disifatkan sebagai pelik dan didakwa penuh muslihat.

Calon Ketua Cabang PKR Kuala Selangor, Mohd Faizal Abdul Rahman mendakwa, terdapat agenda tersembunyi serta wujud ‘tangan ghaib’ yang mengatur keputusan pemilihan.

“Tanpa ragu-ragu saya akan jawab ‘ya’ wujudnya tangan ghaib yang mengatur keputusan demi mencapai kepentingan kumpulan atau peribadi tertentu.

“Kartel 2.0 kalau boleh saya katakan dan (keputusan) paling pelik dan penuh agenda tersembunyi,” katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Mohd Faizal yang merupakan seorang peguam berkata, beliau akan mempertimbangkan cadangan ahli parti di seluruh negara untuk membuat petisyen bantahan terhadap keputusan pemilihan.

Malah, ujar beliau, apabila Majlis Pimpinan Pusat (MPP) akan mengadakan mesyuarat tergempar berhubung isu tersebut, ia jelas menunjukkan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak selesa dengan keputusan pemilihan parti kali ini.

Sementara itu, bekas Ketua Cabang PKR Kuala Selangor, S Thiban turut mendakwa terdapat kejanggalan dalam keputusan pemilihan parti kali ini, khususnya melibatkan calon-calon yang dilihat lebih cenderung menyokong Timbalan Presiden, Datuk Seri Rafizi Ramli.

Thiban yang tewas dalam mengekalkan jawatannya berkata, terdapat trend luar biasa di beberapa cabang di Selangor seperti Selayang dan Shah Alam apabila calon ketua cabang yang menang memperoleh jumlah undi tinggi, tetapi calon-calon dalam pasukan di bawahnya mencatat undi jauh lebih rendah.

Ujarnya, keputusan penuh yang diumumkan menunjukkan corak pengundian tidak konsisten dan mencurigakan.

“Kalau satu dua cabang saja yang jadi macam ini, mungkin kita boleh anggap sebagai kes terpencil. Tapi bila perkara sama berlaku di banyak tempat, ia jelas menimbulkan keraguan,” ujarnya.