SEREMBAN - Pengerusi PH Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun mengambil pendekatan kunci mulut berhubung angin perubahan Pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) 2025 yang menyaksikan banyak nama besar tewas.
Aminuddin berkata, sebarang kenyataan berhubung perkara itu akan dibuat selepas mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat (MPP) yang akan diadakan Rabu ini.
"Menang kalah itu biasa adat dalam pemilihan. Buat masa ini saya tak mahu komen apa-apa. Kita tunggu mesyuarat Rabu ini, selepas itu barulah saya akan beri maklum balas," katanya ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Majlis Bandaraya Seremban (MBS), pada Isnin.
Beliau yang juga Naib Presiden PKR mengesahkan akan menghadiri mesyuarat berkenaan dan mengambil pendekatan 'tiada komen' kerana enggan mendahului kenyataan Presiden, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
"Mesyuarat ini dipanggil oleh Setiausaha Agung menerusi WhatsApp setelah mendapat persetujuan Presiden. Saya dipanggil mesyuarat, jadi saya datang.
"Sebarang keputusan kita tunggu dan lihat, saya akur dengan Presiden, tidak boleh mendahului beliau," katanya.
Media sebelum ini melaporkan Pemilihan PKR 2025 menyaksikan berlaku beberapa kejutan apabila terdapat antara 'nama besar' serta berjawatan dalam kerajaan, termasuk penyandang yang bertanding, disahkan tewas.
Keputusan kali ini juga menyaksikan 'angin perubahan' berikutan terdapat calon muka baharu berjaya melakar kemenangan.
Antaranya, Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad yang juga Naib Presiden PKR, kalah mengejut kepada pelakon, Datuk Afdlin Shauki, dalam jawatan Ketua Cabang Setiawangsa.
Turut tewas Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abd Halim bagi jawatan Timbalan Ketua Cabang Hang Tuah Jaya.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rawang, Chua Wei Kiat merangkap Timbalan Ketua Penerangan PKR juga tewas kepada muka baharu, Kamarudin Mohd Hussain bagi Ketua Cabang Selayang.
Selain itu, wujud dakwaan berlaku trend 'badan tanpa kepala' menggambarkan situasi pasukan menang, tetapi ketuanya kalah.