SHAH ALAM - Kenyataan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkenaan kepentingan kemenangan politik berbanding menunaikan ibadah haji dan umrah adalah sangat jelas serta bersandarkan pandangan para ulama terdahulu.
Ketua Dewan Ulama Pas Pusat (DUPP), Datuk Ahmad Yahaya berkata, teguran sama juga pernah disebutkan oleh Almarhum Syeikh Dr Yusuf al-Qaradhawi mengenai individu yang menunaikan umrah sehingga mengetepikan keperluan berjihad dengan harta atas jalan ilmu.
“Almarhum Syeikh Dr Yusuf al-Qaradhawi sendiri pernah menyentuh isu ini dalam kitabnya, Figh al-Awlawiyyat apabila beliau menegur sikap segelintir individu yang berulang kali menunaikan umrah namun mengabaikan keperluan berjihad dengan harta dan usaha atas jalan ilmu, dakwah serta perjuangan umat.
“Isu ini bukanlah mempertikaikan kedudukan ibadah haji atau umrah tetapi lebih kepada memahami kaedah menilai keutamaan dalam tindakan sebagai seorang Muslim,” katanya di Facebook pada Isnin.
Sebelum ini, media melaporkan Abdul Hadi memberi isyarat supaya masyarakat Islam di negara ini mengutamakan kemenangan politik selain perlu menangguhkan hasrat menunaikan umrah dan haji.
Beliau mendakwa, ketetapan berkenaan dibuat dengan mengambil ibrah peristiwa Rasulullah SAW yang dihalang melaksanakan umrah sehingga termeterainya perjanjian Hudaibiyah.
Tambah Ahmad Yahaya, penyertaan dalam pilihan raya adalah sebahagian daripada tanggungjawab politik Islam yang tidak boleh dipandang ringan.
Beliau turut menekankan, kenyataan Presiden Pas itu telah diputarbelitkan oleh pihak lawan yang kini ketandusan hujah bagi mempertahankan pakatan politik UMNO dan DAP apabila dilihat semakin tidak selari dengan aspirasi rakyat.
“Mengundi ini melibatkan pemilihan kepimpinan yang akan menentukan hala tuju pentadbiran negeri dan negara selain menjadi suara rakyat serta benteng mempertahankan agama.
“Bukankah realiti sudah terbentang di depan mata apabila kesalahan dalam satu saat kita memangkah kertas undi, kita sedang merana dengan satu demi satu ketempangan polisi kerajaan.
“Seluruh pengundi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning memahami tanggungjawab mengundi kali ini untuk memberikan signal kepada ketempangan dasar kerajaan negeri mahupun Persekutuan,” ujarnya.