SHAH ALAM - Pemilihan bagi jawatan tertinggi PKR dijangka lebih sengit berikutan pelbagai kejutan di peringkat cabang yang menyaksikan banyak nama besar dan berjawatan tewas kepada lawan masing-masing.
Penganalisis Politik dari Universiti Sultan Zainal Abidin, Dr Hussain Yusri Zawawi berkata, antara jawatan yang dijangka panas adalah melibatkan ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) dan Naib Presiden.
“Situasi ini membuka ruang kepada pertembungan dua generasi iaitu mereka yang telah lama menguasai parti dan generasi muda yang membawa idea dan pendekatan baharu.
“Jika tidak diurus dengan baik, ia boleh membawa kepada perpecahan dalaman, tetapi dalam kerangka demokrasi, ia juga boleh memperkukuh legitimasi.
“Kepimpinan tertinggi perlu menilai semula bagaimana mereka mendekati ahli akar umbi. Tidak cukup dengan rekod prestasi, pemimpin perlu dilihat accessible (mudah didekati), accountable (bertanggungjawab) dan genuine (ikhlas). Jika tidak, calon luar biasa mampu mengulangi kejayaan mereka seperti yang berlaku sekarang,” katanya kepada Sinar Harian.
Ditanya mengenai kemungkinan wujud isyarat tertentu yang ingin disampaikan akar umbi berdasarkan keputusan berkenaan, Hussain Yusri berkata, antara perkara yang ditunjukkan ialah keinginan untuk reformasi dalaman dan perubahan kepimpinan yang lebih progresif dan representatif.
Beliau menambah, dalam sains politik situasi itu dikenali sebagai fenomena anti-incumbency atau penolakan terhadap pemimpin yang sedang menyandang jawatan kerana dilihat gagal memenuhi harapan atau tidak cukup membawa pembaharuan.
“Ahli-ahli parti, khususnya generasi muda dan pertengahan, mungkin sudah mula berasa letih dengan pendekatan politik konvensional.
“Meskipun tokoh seperti Nik Nazmi dan Adam Adli berasal daripada kumpulan reformis tetapi apabila mereka berada dalam kerajaan, mereka mula dilihat sebagai sebahagian daripada status quo.
“Akar umbi mahukan pemimpin yang bukan sekadar reformis dalam slogan, tetapi dalam tindakan konkrit,” katanya.