UMNO hilang taring bila berpisah dengan Pas - Abdul Hadi

TAPAH - Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang menyifatkan UMNO semakin hilang taring apabila berpisah dengan Pas.

Beliau berkata, perkara itu dibuktikan dengan kemerosotan undi Melayu terhadap parti tersebut pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang lalu.

"Berlaku perang mutakhir (pilihan raya), UMNO makin lemah, makin lemah bila berpisah dengan Pas.

"Berlakulah hari ini, Pas dapat undi Melayu dan UMNO merosot undi Melayu. DAP dapat undi bukan Islam. Parti yang sokong dapat undi bukan Islam," katanya dalam Ceramah Mega Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning di Kampung Tanjung Keramat di sini pada Sabtu.

**media[3092037]**

Hadir sama, Pengerusi Muafakat Nasional (MN), Tan Sri Annuar Musa; Naib Presiden Pas, Datuk Idris Ahmad dan Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

Turut hadir, calon Perikatan Nasional (PN) PRK Ayer Kuning, Abd Muhaimin Malek.

Majlis sama menyaksikan, mantan ADUN Kampong Gajah yang juga bekas Ketua Wanita UMNO Perak, Datuk Dr Wan Norashikin Wan Noordin menyerahkan borang keahlian untuk menyertai Pas.

Abdul Hadi berkata, pemimpin Melayu UMNO sepatutnya bekerjasama dengan Pas bukannya Pakatan Harapan (PH) dalam membentuk kerajaan agar kuasa Islam dapat diperkasakan.

Katanya, sebagai sebuah negara yang majoritinya Islam, kemenangan politik adalah penting sebagai kuasa memerintah dan mentadbir.

"Di Malaysia, orang Melayu adalah majoritinya Islam. Mereka berhak memimpin, bukan bermakna kita menafikan hak bukan Islam

"Bukan Islam dibenarkan berada dalam negara Islam dan menyertai kerajaan tetapi kuasa politik yang tinggi mesti (diterajui) orang Islam," katanya.

Ahli Parlimen Marang itu berkata, pendekatan DAP yang semakin melampau dengan kenyataan yang mencabar Islam, menentang hukum syariat dan menyokong murtad, perlu ditolak.

"Yang terakhir buang bulan dalam bendera Malaysia. Bulan ini simbol Islam. Islam di bawah raja-raja.

"Ada orang pandang ringan termasuklah Perdana Menteri. Saya dengar dia bela, baginya tidak ada apa-apa," katanya.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, PRK Ayer Kuning perlu dijadikan gelombang untuk menyedarkan seluruh negara atas kepincangan politik yang berlaku mutakhir ini.

Jelasnya, calon yang dipilih perlulah mempunyai kewibawaan tinggi, boleh menjalankan kewajiban, bukan calon yang diam, tidak boleh bersuara dengan betul dalam Dewan Undangan Negeri.

"Jangan pilih kerana dapat duit, dapat janji. Ini satu pendekatan yang salah.

"Kita kenal calon kita (Abd Muhaimin) kemampuan dia bercakap, berhujah, ilmu, ada kelayakan dan tunai amanah. Jangan salah mengundi. Insya-ALLAH undi PN," katanya.