TAPAH - Tindakan Perikatan Nasional (PN) menggunakan gambar seorang ahli UMNO dalam bahan kempen tanpa kebenaran selesai secara baik selepas membuat permohonan maaf.
Pengurus Kempen Calon PN, Mohd Misbahul Munir Masduki berkata, permohonan maaf itu dibuat calon PN, Abd Muhaimin Malek dalam satu pertemuan bersama individu tersebut pada Selasa.
"Semalam saya bawa calon, jumpa sendiri dengan pihak berkenaan meminta maaf kerana telah menyinggungnya guna gambar itu.
"Individu memaklumkan isu ini suatu perkara kecil dan menganggap sudah selesai. Dalam pertemuan itu kami bergambar bersama dan bersalaman," katanya ketika sidang media harian PN di sini pada Rabu.
Media pada Isnin melaporkan seorang wanita meluahkan rasa kesal apabila gambar suaminya disalahgunakan sebagai bahan kempen oleh sebuah parti politik sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning.
Malah, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail menyifatkan tindakan PN itu sebagai cubaan mengelirukan rakyat selain mencerminkan kegagalan mereka untuk mengetengahkan idea dan perancangan sendiri bagi memenangi hati pengundi.