UMNO sentiasa 'jernih hati' - Bung Moktar

KOTA KINABALU - UMNO Sabah menegaskan pihaknya sentiasa bersikap 'jernih hati' dalam hubungan politik, namun menyerahkan kepada pihak lain untuk menilai sejauh mana keikhlasan mereka dalam menjalin kerjasama dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17).

Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, UMNO-Barisan Nasional (BN) Sabah tidak pernah menutup pintu terhadap sebarang bentuk kerjasama dengan parti tempatan, namun ia bergantung kepada keikhlasan dan komitmen pihak berkenaan.

"Tetapi kita tidak buka seluas-luasnya. Kita tengok parti yang mana ada keikhlasan, ada kejujuran, ada komitmen. Parti yang tidak ada keikhlasan, selalu mengkhianati, kita tidak akan bekerjasama.

"Kami sentiasa jernih hati tapi kalau orang tidak jernih, apa mahu buat," katanya ketika ditanya mengenai saranan agar BN memperbaiki hubungan dengan GRS," katanya kepada pemberita ketika hadir dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah pada Rabu.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai saranan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sabah supaya UMNO Sabah jernihkan hubungan dengan GRS bagi mengelak Pakatan Harapan (PH) Sabah tersepit.

Ditanya mengenai sama ada terdapat pertemuan rasmi dengan PH Sabah susulan pengumuman kerjasama pada Ahad lalu, beliau sekali lagi menjelaskan setakat ini tiada mesyuarat rasmi diadakan.

"Saya pun jelaskan pertemuan rasmi belum ada tetapi yang tidak rasmi kerap kali kita adakan dan kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bukan menafikan, tetapi dia kata tunggu masa yang sesuai untuk diumumkan, jadi itu jelas," katanya.

Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa perbincangan bersama GRS tidak berlaku setakat ini, sama ada secara rasmi mahupun tidak rasmi.

Meskipun begitu, beliau tidak menolak sebarang kemungkinan berlaku kerjasama antara mana-mana gabungan politik selepas pilihan raya nanti.

"Segala kemungkinan boleh berlaku, tetapi jika ditanya sama ada mustahil untuk berlaku, saya rasa tidak mustahil. Dalam politik, segala-galanya boleh berlaku, tetapi kita perlu lihat kepada hasil dan keadaan semasa.

"Mungkin amalan itu (gabungan selepas pilihan raya) juga akan berlaku di Sabah, kerana senario politik hari ini telah banyak berubah di seluruh dunia. Sudah tidak ada satu parti yang benar-benar dominan untuk mentadbir negara atau negeri.

"Dalam erti kata lain, setiap pemimpin parti perlu bijak melihat ke hadapan dan mencari jalan bagaimana untuk memastikan parti mereka kekal relevan kepada rakyat," ujarnya.

Ketika ditanya kemungkinan PRN17 berlangsung semua parti akan bertanding, Bung Moktar menyatakan bahawa ia tidak mustahil berlaku.

"Awal-awal tadi saya katakan semuanya boleh, kemungkinan boleh berlaku dan pun berlaku sudah banyak, lepas pilihan raya baru ada gabungan," katanya.

Menurut beliau, keputusan UMNO dan BN bekerjasama dengan PH merupakan sebahagian daripada strategi untuk menghadapi PRN akan datang.

"Mungkin, kemungkinan itu ada (perbincangan selepas PRN). Tapi kita ada strategi, sebab itu kita memilih untuk bekerjasama dengan BN dan PH, kerana kita mahu melindungi kerajaan Persekutuan," katanya.