IPOH - Keputusan Dewan Undangan Negeri (DUN) menggantung Ketua Pembangkang, Razman Zakaria dibuat berdasarkan peraturan yang telah ditetapkan.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, tindakan tersebut dilakukan berpandukan Perintah-Perintah Tetap Dewan Negeri Perak.
Menurutnya, sebarang hukuman yang dikenakan itu disebabkan berlaku pelanggaran peraturan berkenaan.
"Saya ingatkan diri saya sendiri dan kepada 58 adun yang lain. Kita ada tiga warna lampu isyarat. Warna hijau boleh berjalan, warna merah berhenti. Tapi ada juga orang warna merah pun boleh langgar. Bila dilanggar kena tangkap, kena dakwa, kena denda. Adakah kita nak kata tak adil?
"Kita boleh bercakap, boleh berhujah, tetapi ada batasannya. Jangan melampaui batas, tak boleh menghasut, tak boleh menghina. Bila langgar peraturan itu, maka salah dan dihukum. macam mana kita nak kata tak adil sedangkan buku (Perintah-Perintah Tetap Dewan Negeri Perak) itu untuk mengawal kita. Sama seperti lampu isyarat tadi," katanya kepada pemberita.
Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar di Bilik Sidang Media DUN Perak di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini pada Rabu.
Sementara itu, Saarani berkata, jika isu tersebut dijadikan alat untuk Razman berkempen bagi membantu calon Perikatan Nasional (PN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning, pihaknya akan bersedia menjawab mengenai tindakan tersebut.
"Kalau ini nak dijadikan isu untuk (PRK) Ayer Kuning, saya pun boleh juga. Saya akan cerita bahawa apa yang dibuat oleh Ketua Pembangkang itu salah mengikut buku hijau (Perintah-Perintah Tetap Dewan Negeri Perak).
"Jadi kalau dia (Razman) nak bawa naratif itu, saya pun ada juga cara saya sebab ini tidak menganiayai sesiapa," katanya.
Razman dalam sidang medianya selepas dikenakan hukuman itu memaklum keputusan dibuat DUN Perak itu akan dijadikan modal kempen sepanjang PRK berkenaan bagi membuka mata pengundi tentang apa yang berlaku.
Terdahulu, DUN Perak meluluskan usul menggantung Razman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gunung Semanggol daripada menghadiri persidangan DUN selama selama enam bulan berkuat kuasa serta-merta.