TAPAH - Calon Perikatan Nasional (PN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Ayer Kuning, Abd Muhaimin Malek telah diberi nasihat untuk tidak menjalankan aktiviti kuliah atau syarahan di masjid atau surau.
Pengurus Kempen Calon PN, Mohd Misbahul Munir Masduki berkata, perkara itu dimaklumkan oleh pihak terlibat kepada Abd Muhaimin berhubung pentauliahan mengajar agama.
"Saya dimaklumkan bahawa calon telah diberi nasihat oleh pihak yang menghubunginya untuk tidak mengajar lagi di masjid dan surau kerana menjadi calon.
"Difahamkan Jabatan Mufti akan buat kenyataan berhubung perkara itu. Ini tanda PN sentiasa mengikuti tatacara dan tatakelola peringkat penguat kuasa mana-mana pihak," katanya kepada pemberita dalam Sidang Media Harian PN sempena PRK Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning di sini pada Rabu.
Mengikut Peraturan-peraturan Pengawasan Pengajaran dan Syarahan Agama, Jabatan Mufti Perak melarang individu berjawatan politik mengajar atau bersyarah di masjid dan surau di Perak walaupun mempunyai tauliah.
Mohd Misbahul yang juga Ahli Parlimen Parit Buntar berkata, isu pentauliahan yang dihadapi Pengerusi PN Tapah itu tidak menjejaskan kempen gabungan itu di Ayer Kuning.
"Jika memang ada dikuatkuasakan, kenapa Jabatan Mufti Perak tidak tarik balik tauliah? Tak ada isu pun.
"Dahulu tauliah untuk seumur hidup atau sehingga ditarik balik tetapi terdapat peraturan baharu yang perlu diperbaharui (tauliah). Bila dia perbaharui saya tak pasti dan kena tanya pada calon sendiri," katanya.
Pada Isnin, Timbalan Ketua Pemuda Amanah Perak, Ahmad Munzirie Ahmad Kabir membuat laporan polis berhubung dakwaan penipuan dalam permohonan tauliah mengajar agama oleh Abd Muhaimin.
Ahmad Munzirie mendakwa Abd Muhaimin memperoleh tauliah mengajar agama meskipun memegang jawatan politik yang disifatkan bercanggah dengan garis panduan sedia ada.
Difahamkan Abd Muhaimin menjawat jawatan Naib Yang Dipertua Pas Kawasan Tapah sejak 2015 hingga 2017 dan kini memegang jawatan Yang Dipertua Pas di kawasan sama.