SHAH ALAM - Pas mengakui komposisi kaum menjadi cabaran kepada Perikatan Nasional (PN) dalam mendepani Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning.
Setiausaha Jabatan Pilihan Raya Pas Perak, Ismad Shahril Che Mat berkata, usaha untuk meraih sokongan bukan Islam dihalangi oleh stigma serta persepsi salah masyarakat terhadap Pas sejak sekian lama.
**media[3086965]**
"Walaupun Pas mempunyai cabang khusus untuk bukan Islam menerusi Dewan Himpunan Penyokong Pas (DHPP) dan parti komponen lain dalam PN, persepsi salah yang sebelum ini diguna untuk menakut-nakutkan rakyat (dengan kenyataan) Pas sebagai parti rasis dan ekstremis, menyukarkan usaha itu.
"Maka orang bukan Islam sudah ada stigma begitu melainkan sewaktu Barisan Alternatif pada tahun 1999, DAP memberi penerangan kepada kaum bukan Melayu ketika itu," katanya dalam Wacana Sinar edisi-476 bertajuk 'Ustaz, Ayer Kuning Tunggu Mu Datang' yang disiarkan di semua platform digital Sinar Harian pada Selasa.
Antara panelis lain terlibat ialah Ketua UMNO Bahagian Beruas, Datuk Dr Azhar Ahmad dan Pensyarah Program Pengajian Polisi Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Profesor Madya Dr Mohd Yusri Ibrahim.
Dalam pada itu Ismad Shahril menjelaskan, kewujudan DPHH serta parti gabungan dalam PN jelas membuktikan Pas bersedia dan terbuka untuk bekerjasama dengan masyarakat bukan Islam.
Malah ujarnya, ketika parti bimbingan Presiden, Tan Sri Abdul Hadi Awang bersama DAP suatu ketika dahulu, kerjasama berjalan dengan lancar.
"Tetapi selepas tidak bersama, mereka (DAP) jugalah yang melabelkan Pas sedemikian dan masalahnya adalah kepada label (rasis dan ekstremis).
"Kalau bahas secara logik (contoh) di Kelantan, 95 peratus orang Melayu bersama baki kaum bukan Islam hidup lebih selesa dan terjamin dari segi penganutan agama dan kerjasama," ujarnya.
Sementara itu mengenai PRK Ayer Kuning, beliau berkata, PN mempertaruhkan calon terbaik yang mampu membawa perubahan kepada penduduk setempat.
"Semua calon yang bertanding mahu menang dan kita sebagai 'underdog' tahu dari sudut sejarah, kawasan DUN dan Parlimen Tapah itu sendiri kubu kuat BN (Barisan Nasional).
"Namun rakyat inginkan perubahan dan tidak dinafikan, walaupun BN banyak berjasa tetapi setelah lama dalam tampuk kuasa, rakyat melihat ada kepincangan yang perlu dibuat reformasi," katanya.