'Saya tidak bertanding, Presiden PKR minta fokus kerja-kerja parti'- Fuziah

KUANTAN - Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR), Dr Fuziah Salleh mengesahkan tidak bertanding dalam sebarang jawatan pada pemilihan parti kali ini.

Beliau berkata, keputusan itu dibuat atas permintaan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mahu beliau memberi sepenuh perhatian terhadap kerja-kerja pengurusan parti.

“Saya memang sudah dua penggal tak bertanding di peringkat cabang dan saya serahkan jawatan ketua cabang daripada tahun 2018 kepada penyandang sekarang.

"Di peringkat nasional, saya diminta oleh Presiden untuk fokus kerja-kerja parti, menguruskan parti ini memerlukan tumpuan. Jadi saya tidak bertanding,” katanya.

**media[3087121]**

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pahang di Indera Mahkota di sini pada Rabu.

Menjawab mengenai proses pemilihan PKR 2025 Fuziah berkata, ia berjalan dalam keadaan aman dan teratur serta jauh berbeza berbanding suasana tegang dalam pemilihan-pemilihan lalu.

“Kalau orang luar tengok, memang dulu-dulu pemilihan keadilan (PKR) ini penuh dengan cerita-cerita baling kerusi dan sebagainya.

"Tapi alhamdulillah, kali ini memang tenang dan segalanya berjalan lancar kerana kita sepenuhnya menggunakan sistem e-voting, melainkan mereka yang berumur 60 tahun ke atas, tidak mempunyai telefon pintar atau masalah liputan internet," katanya.

Fuziah memaklumkan teknologi blockchain dan setakat ini tiada langsung aduan berkaitan percubaan penggodaman.

"Teknologi ini adalah sistem yang selamat (save and secure) dengan setiap ID (pengenalan) pengundi itu 'encrypted', undi mereka juga dienkripsi.

"Ini bermakna ia tidak boleh dicerobohi dan setakat ini tidak ada langsung aduan (diterima) mengenai cubaan untuk menceroboh (data) pemilihan," ujar beliau.

Fuziah turut memberitahu, terdapat rayuan dan bantahan daripada segelintir pihak yang tidak berpuas hati dengan keputusan pemilihan.

Bagaimanapun katanya, namun ia adalah perkara biasa dalam dunia politik.

“Kadang-kadang yang bertanding ini tidak boleh menerima kekalahan. Maka mereka merasakan mereka patut menang, sebab itu mereka membantah.

"Jadi, kita buka, Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) akan teliti setiap aduan, dan MPP (Majlis Pimpinan Pusat) juga bersikap telus untuk mendengar segala bantahan, aduan diketengahkan,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Fuziah berkata semangat demokrasi dan keterbukaan wajar diraikan, khususnya dalam kalangan ahli yang ingin menawarkan diri untuk bertanding.

"Kita mahu membawa sesuatu yang baik untuk parti, semua orang merasakan mereka boleh menyumbang dengan lebih baik.

"Mereka telah berjuang dan bekerja kuat selama ini dan jika mereka mahu menawarkan sesuatu, ini adalah demokrasi.

“Bertandinglah secara sihat, tanpa menjatuhkan pihak lawan, tawarkan apa yang positif untuk parti dan raikan kepelbagaian dalam semangat reformasi serta demokrasi," jelasnya.