Manifesto calon BN akan diumum dalam masa terdekat

IPOH - Manifesto bagi calon Barisan Nasional (BN), Dr Mohamad Yusri Bakir akan diumumkan dalam masa terdekat.

Pengerusi BN Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, kebiasaannya manifesto dibuat oleh parti untuk memberikan sesuatu tawaran kepada rakyat.

Menurutnya, begitu juga dengan calon jika terdapat hasrat tertentu yang ingin dilaksanakan sekiranya terpilih sebagai menjadi wakil rakyat di kawasan tersebut.

"Insya-ALLAH akan ada dua tiga hari lagi kita akan perhalusi sebab kebanyakan pembangunan di situ sudah pun dibuat oleh kerajaan negeri.

"Tapi kalau ada benda-benda yang sangat khusus dia nak buat, kita akan bincang dan jadikan ia sebagai manifesto bagi calon," katanya kepada pemberita.

Beliau berkata demikian ketika ditemui ketika sidang akhbar di Bilik Sidang Media DUN Perak di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini pada Rabu.

Sementara itu, Saarani menjelaskan pihaknya akur dengan arahan supaya tiada sebarang pengumuman peruntukan dibuat sepanjang tempoh kempen di PRK DUN Ayer Kuning.

Menurutnya, sebarang pengumuman peruntukan yang dibuat sebelum ini dilakukan sebelum Hari Penamaan Calon.

Memberi contoh mengenai peruntukan penyuraian trafik di Pekan Tapah, perkara itu bukan perkara baharu kerana isu tersebut sudah dibangkitkan lebih awal.

Katanya, secara kebetulan kerja-kerja bagi melaksanakan projek tersebut berlangsung dalam tempoh PRK dan dijangka siap pada penghujung April ini.